GEORGE TOWN – Peminat motosikal di negara ini mula mengintai untuk membeli motosikal baharu berkuasa 500cc ke atas selepas pengumuman kerajaan berhubung peralihan lesen B penuh baru-baru ini.
Mereka ini yang terdiri pemilik motosikal jenis Yamaha Y15 dan Y16 dikatakan tidak menunggu lama untuk berfikir panjang dan menaik taraf motosikal sedia ada.
Pengarah Urusan KB Soon Huat Motor Sdn. Bhd., William Khoo berkata, mereka kini tidak menang tangan membalas pertanyaan lebih 30 pelanggan sehari terdiri dalam kalangan pemilik motosikal 150cc hingga 250cc termasuk skuter berkaitan motosikal berkuasa 500cc ke atas.
“Dalam tempoh 48 jam pengumuman kerajaan, lebih 30 pelanggan menghubungi kami secara dalam talian termasuk WhatsApp tentang harga dan stok motosikal-motosikal berkuasa 500cc ke atas terutama skuter.
“Memang berlaku peningkatan 10 hingga 20 peratus pertanyaan dan permintaan terhadap motosikal tersebut berbanding sebelum ini, dalam sehari tak sampai 10 pelanggan yang bertanya.
“Majoriti mereka berkeinginan mahu menaik taraf kepada skuter model SYM Maxsym TL508 pada harga RM46,888, Yamaha Tmax 560cc (RM74,998), Honda XADV 750cc (RM78,000) dan Yamaha Tenere 700cc (RM69,988).
“Sehari selepas pengumuman itu, dua pelanggan sudah mengesahkan pembelian skuter baharu. Malah, mereka yang bertanya juga kini sudah bersedia ‘trade in’ dengan motosikal lama meskipun permohonannya bermula 1 Oktober depan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Katanya, pelanggan terbabit pula terdiri dalam kalangan usia 40 tahun ke atas dan masing-masing menyatakan hasrat pembelian motosikal baharu itu secara ansuran dari kedai.
Sementara itu, Pengurus Cawangan Ebid Motor Sdn. Bhd., Shazrul Azizan berkata, pihaknya juga menerima pertanyaan dan permintaan ketara lebih 30 peratus sejak pengumuman itu dibuat.
Ujarnya, kebanyakan mereka yang ingin menaik taraf kenderaan itu merupakan pemilik motosikal 250cc ke bawah.
“Sejak pengumuman itu, memang ada peningkatan ketara. Ramai yang tanya tentang motosikal jenis Benelli TRK 502, SYM Maxsym TL 500, Yamaha Tracer 900 cc, Suzuki GSX S-750 dan QJ Motor SRK 600.
“Ini kerana, harga motosikal ini lebih rendah iaitu antara RM36,000 sehingga RM60,000 jika nak dibandingkan dengan jenama terkemuka seperti Ducati atau Duke,” katanya.
Shazrul berkata, meskipun Ebid Motor turut menjual pelbagai jenis motosikal terpakai, namun orang ramai lebih gemar memilih kenderaan baharu terutama bagi 500cc ke atas.
“Kita ada banyak juga motosikal terpakai tetapi berdasarkan pertanyaan yang diterima, rata-rata memilih kenderaan baharu dengan alasan ingin membuat pinjaman. Kerana untuk motosikal terpakai, sebenarnya lebih baik beli secara tunai,” ujarnya.
“Pengumuman kerajaan itu semestinya memberi kelebihan dan juga berita gembira buat pengusaha kedai jualan motosikal memandangkan peratusan pembelian kenderaan bermotosikal ketika ini semakin berkurang.
“Dahulu pemegang LLM Kelas B1 dan B2 termasuk pemegang lesen baharu tak mahu ambil Kelas B sebab kosnya mahal, kali ini ramai pula yang menunjukan keinginannya disebabkan yuran yang minimum,” tambahnya.
Media melaporkan pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal Kelas B1 dan B2 yang aktif lebih 10 tahun boleh memohon LMM Kelas B bermula 1 Oktober depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mereka yang berminat perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas selama dua jam di Institut Memandu melibatkan program amali penunggangan dan informasi pemanduan selamat.
















