Mengalami masalah kulit yang memerlukan penjagaan khusus seperti ekzema, alergik, kulit kusam dan mudah terbakar disebabkan sinaran suria (sunburn) membuatkan wanita ini pernah sengsara.
Hampir setahun jugalah Sharifah Nori Bahar menderita masalah kulit itu sambil membesarkan anak pertamanya di rumah. Akuinya sudah macam-macam produk di pasaran dicubanya, namun tidak berhasil.
Apapun ada hikmah di sebalik semua itu apabila usaha pencariannya akhirnya membawa kepada pengeluaran produk masalah kulit sendiri sekali gus membuka pintu bisnes kepada Sharifah Nori yang kini dikurniakan dua cahaya mata.
Sebagai seorang berkelulusan diploma dan pernah ditawarkan peluang kerjaya dalam bidang sumber manusia tetapi terpaksa melepaskan ‘rezeki’ itu kerana mendirikan rumah tangga serta menjadi suri rumah, ternyata itu jalan buat dirinya menjana wang.
“Sebelum menceburi bidang perniagaan, saya adalah seorang suri rumah sepenuh masa yang berkelulusan diploma dalam bidang pengurusan manusia dan perniagaan.
“Alhamdulillah pada usia muda, saya dikurniakan seorang cahaya mata dan terpaksa mengorbankan peluang kerjaya kerana ingin membesarkan anak di depan mata.
“Pun begitu, saya sentiasa merasa ada keinginan untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna di samping menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,” kata Sharifah Nori, 32, saat membuka bicara bersama Aura.
Jelasnya, perniagaan berasaskan produk penjagaan badan dan kulit yang diasaskan itu tentunya juga bertitik tolak daripada minat mendalamnya terhadap dunia perniagaan.
“Saya masih ingat, langkah pertama saya memulakan perniagaan hanya dengan bermodalkan RM200 yang diberikan oleh suami.
“Alhamdulillah, dengan berkat restu dan reda suami, saya berjaya melebarkan sayap dalam dunia perniagaan dengan lebih luas dari tahun ke tahun,” katanya.
Anak kelahiran Kelantan ini juga melihat potensi besar industri penjagaan kulit di Malaysia.
Katanya, ia dikuatkan lagi dengan tahap kesedaran tentang penjagaan kulit dan badan yang semakin meningkat.
“Bagi saya, perniagaan ini bukan sekadar menjual produk, malah ia tentang memberikan keyakinan diri dan kesejahteraan kepada pelanggan.
“Melihat pelanggan gembira dan puas dengan hasil yang mereka peroleh adalah motivasi terbesar saya untuk terus maju dalam bidang ini.
“Lebih daripada itu, perniagaan ini juga menjadi platform bagi saya untuk membantu lebih ramai suri rumah dan usahawan, khususnya kalangan wanita dan usahawan Melayu Islam untuk membina kerjaya dan mencapai kejayaan,” katanya yang mengeluarkan produk dengan ramuan tersendiri berasaskan bahan semula jadi.
Ditanya mengenai pencapaian syarikat saat ini, ibu kepada seorang cahaya mata ini memberitahu, bukan mudah untuk sampai ke tahap ini dan perlu melalui pelbagai cabaran.
Katanya, selepas beberapa tahun berhempas pulas melalui pelbagai onak duri, cabaran dan dugaan berbisnes, dia kini mampu tersenyum lebar.
“Paling utama, produk kami kini mendapat kepercayaan ramai pelanggan dan telah berjaya menembusi pasaran tempatan serta beberapa pasaran antarabangsa.
“Kami juga telah menerima pengiktirafan dari pelbagai pihak termasuk kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta makmal-makmal terkemuka.
“Selain itu, syarikat kami kini semakin berkembang dengan peningkatan jualan dan pengembangan rangkaian produk yang lebih meluas, termasuk produk yang memberi fokus kepada pencerahan kulit dan penjagaan menyeluruh.
“Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada kami sepanjang perjalanan getir dan manis ini,” kata pengasas jenama PinkandBell itu.

Berkongsi lanjut cabaran yang pernah dihadapi Sharifah Nori berkata, cabaran paling tidak boleh dilupakan adalah saat awal-awal berniaga. Ketika mula menceburi perniagaan ini pada tahun 2020, dia menghadapi kesukaran untuk meyakinkan pelanggan tentang keberkesanan produk yang ditawarkan.
“Ini merupakan satu cabaran besar kerana saya perlu bekerja keras untuk membina kepercayaan terhadap produk, terutama sekali dalam industri kecantikan yang kompetitif.
“Saya melakukan pemasaran untuk mempromosikan produk, memberikan sampel percuma dan menyampaikan testimoni diri dan daripada pelanggan awal untuk membuktikan produk saya benar-benar berkesan,” katanya.
Seterusnya, cabaran lain adalah dari segi pengurusan kewangan dan menguruskan aliran tunai yang ‘memaksanya’ untuk bijak menguruskan perbelanjaan.
“Ia terutama sekali ketika demand (permintaan) manakala modal permulaan adalah terhad. Terdapat masa di mana saya terpaksa membuat keputusan sukar, seperti menangguhkan beberapa pelaburan penting atau mengurangkan kos operasi untuk memastikan perniagaan dapat terus bertahan,” katanya.
Ujarnya, setiap cabaran yang datang bukan sahaja mengajarnya erti kesabaran, tetapi juga memberikannya peluang untuk terus berkembang dan memperbaiki diri sebagai seorang usahawan serta pemimpin.
Menyentuh perancangan jangka panjang, Sharifah Nori memberitahu, syarikat optimis membuka peluang pekerjaan sekali gus memperkukuh lagi imej dan kedudukan bisnes.
Katanya, buat masa ini PinkandBelle Sdn. Bhd, mempunyai seramai 12 orang staf di bawah kendaliannya.
“Alhamdulillah, dengan perkembangan bisnes yang kian pesat, kami merancang untuk menambah bilangan staf dalam masa terdekat.
“Sasaran kami untuk meningkatkan jumlah staf kepada 30 orang dalam tempoh tiga tahun bergantung keperluan operasi dan pengembangan pasaran. Penambahan ini bertujuan memastikan kami terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta menyokong pertumbuhan jenama dengan lebih mantap,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Sharifah sempat berkongsi sedikit tip bagi wanita yang berhasrat bergelar usahawan.
Katanya, yang utama, jangan takut untuk mula berniaga dengan skala kecil.
“Banyak usahawan hebat bermula dari kecil. Paling penting adalah keberanian untuk memulakan dan konsistensi dalam usaha,” ujarnya.














