fbpx
KEMPEN 3B diharap dapat membebaskan alam semula jadi di Sabah daripada sisa plastik. – Gambar hiasan

Kempen ‘Bawa Beg Bah’ bebaskan sisa plastik di laut Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENCEMARAN plastik merupakan masalah global yang semakin meruncing dengan peningkatan jumlah sampah yang terlepas ke laut pada kadar 12 juta tan setahun.

Situasi ini amat membimbangkan kerana sampah plastik boleh menjejaskan ekosistem laut selain memberi ancaman kepada hidupan marin.

Sebagai langkah mengurangkan sisa plastik, kerajaan negeri Sabah telah melaksanakan usaha mengawal penggunaan plastik sekali guna di Kota Kinabalu, Sabah melalui kempen ‘Bawa Beg Bah’ (3B).

Usaha tersebut turut mendapat perhatian daripada Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia yang menyifatkan bahawa kempen 3B sejajar dengan Matlamat Nombor 8 pertubuhan itu.

Menurut Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim, matlamat tersebut menggariskan misi untuk mengurangkan atau membebaskan alam semula jadi daripada dicemari sisa plastik.

“WWF-Malaysia komited terhadap usaha yang bertujuan mengurangkan dan menggunakan semula plastik serta menghapuskan kebocoran plastik ke alam semula jadi, terutamanya di persekitaran marin sensitif seperti Semporna.

“Usaha ini juga dilaksanakan dengan mengukuhkan kapasiti pantai tempatan dan komuniti untuk menangani masalah pengurusan sisa plastik.

“Ia juga menyokong dasar mengurangkan sisa plastik sambil menggalakkan kelestarian dan pekeliling ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, pengeluaran plastik telah meningkat secara drastik sejak tujuh dekad lalu dengan lebih 450 juta tan dihasilkan di seluruh dunia.

Plastik boleh dilihat di mana-mana dan digunakan dalam pelbagai perkara termasuk pembinaan, pembungkusan makanan serta instrumen perubatan.

Beg plastik sekali guna membentuk sebahagian besar sisa plastik yang dihasilkan di seluruh dunia.

Katanya lagi, jumlah sisa plastik sekali guna yang besar telah mencemarkan sumber air dan saluran air utama, sebelum berakhir di lautan.

SEHINGGA Jun tahun ini, sebanyak 3.3 tan sampah plastik telah dialihkan melalui sistem pengurusan sisa komuniti di Omadal dan Pulau Harapan, Sabah.

Pecahan beg plastik sekali guna yang tidak dibuang dengan betul membawa kepada pembebasan zarah mikroplastik.

“Zarah-zarah ini memberi risiko serius kepada kesihatan manusia dan hidupan liar kerana ia boleh ditemui di seluruh alam sekitar, terutamanya dalam ekosistem marin.

“Tambahan pula, sisa plastik sekali guna juga menyebabkan ancaman kepada spesies marin dan gangguan kepada rantaian makanan marin.

“Kajian terbaharu dijalankan oleh Universiti Cornell mendedahkan bahawa Malaysia mendahului senarai perkapita global dalam jumlah mikroplastik yang dimakan dalam makanan bersama negara jiran, Filipina dan Indonesia,” ujarnya.

Kongsinya, perkara itu sangat membimbangkan bukan sahaja orang ramai, malah juga kerajaan.

Berdasarkan analisis jurang awal WWF-Malaysia mengenai pengurusan sisa plastik Sabah, penggunaan meluas plastik sekali guna dan batasan dalam sistem pengurusan sisa pepejal sedia ada menyerlahkan lagi cabaran dihadapi oleh kerajaan negeri.

Analisis menunjukkan bahawa pencemaran sisa plastik di Sabah dipengaruhi oleh peluang untuk menambah baik dalam undang-undang dan dasar sedia ada.

Ini termasuk potensi meminimumkan sisa dan pembangunan dasar yang lebih bersepadu untuk memudahkan pelupusan sisa.

“Peningkatan jumlah sisa plastik yang berakhir di lautan akan memudaratkan manusia dan hidupan liar. Ini kerana, ia akan melarutkan toksin ke dalam persekitaran kita.

“Jadi, larangan plastik sekali guna bukan sahaja keperluan alam sekitar, malah kewajipan moral.

“WWF-Malaysia memperkasakan komuniti pantai tempatan untuk menguruskan sisa plastik mereka sendiri melalui pelbagai bengkel pembinaan kapasiti,” katanya.

Kongsinya lagi, sehingga Jun tahun ini, sebanyak 3.3 tan sisa telah dialihkan melalui sistem pengurusan sisa komuniti di Omadal dan Pulau Larapan.

Ia dilakukan dengan kerjasama pertubuhan berasaskan komuniti seperti Wanita Pulau Omadal, Iskul Sama DiLaut dan Kumpulan Pemuliharaan Belia Larapan.

Bagaimanapun, WWF-Malaysia percaya bahawa usaha bersepadu daripada kerajaan serta industri mampu melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN