Masyarakat sentiasa didedahkan dengan pelbagai berita dan kejayaan mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ataupun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) lantas terdapat juga pelbagai keperluan dana yang disedia oleh kerajaan serta institusi kewangan yang menyokong industri berkenaan.
Pemain dalam industri itu tidak pernah resah memikirkan untung nasib mereka kerana banyak pihak yang bersedia menghulurkan sokongan, bimbingan termasuk pembiayaan untuk membolehkan mereka diperkasa malah boleh menembusi pasaran global.
Bagaimanapun, dalam era perniagaan ini, kehadiran syarikat pemula (start up) di negara ini dilihat masih kecil peranannya dalam pembangunan negara kerana tiada promosi secara besar-besaran yang diuar-uarkan di platform media online dan juga offline.
Daripada pandangan mata kasar, perkembangan mengenai syarikat pemula hanya berada dalam kelompoknya tersendiri tanpa didedahkan kepada tontonan umum.
Sebenarnya, komuniti dalam syarikat pemula tempatan begitu aktif mengoperasikan perniagaan masing-masing sambil bekerjasama dengan platform sehenti yang menawarkan khidmat secara menyeluruh.
Salah satu platform yang aktif adalah Leave a Nest Group (LNG) yang menjalin hubungan baik dengan rakan niaganya di Jepun dan beberapa negara lain bagi menawarkan pelbagai kemudahan untuk memperkasakan syarikat pemula.
Syarikat yang berpangkalan di Cyberjaya itu menarik minat banyak syarikat pemula untuk menggunakan kemudahan yang disediakan di premis berkenaan termasuk bilik mesyuarat, ruang pameran dan pejabat kepada syarikat pemula untuk mengoperasikan perniagaan masing-masing.
Penulis yang pernah hadir dalam majlis yang diadakan di situ begitu kagum dengan kejayaan LNG memperkasakan syarikat pemula dan menjadi titik temu kepada mana-mana syarikat pemula lain termasuk dari luar negara untuk menjalin kerjasama strategik untuk manfaat masa depan.
Semangat pemilik syarikat pemula yang kebanyakannya terdiri daripada orang muda yang memiliki idea kreativiti dan unik menawarkan produk dan perkhidmatan terkini untuk menyokong pelbagai industri utama di negara ini, begitu mengagumkan. Tahniah buat mereka!
Kisah kejayaan dan peranan kumpulan ini sebenarnya mampu menarik minat pelabur yan terdiri daripada syarikat korporat dan konglomerat dari dalam dan luar negara untuk terlibat dalam pelbagai projek berpotensi.
Sehubungan itu, tibalah masanya kerajaan memandang perkara ini ke tahap yang lebih serius dalam pembangunan ekosistem syarikat pemula di negara ini.
Selain dana, penceburan pelbagai kementerian berkaitan dan juga agensi kerajaan perlu dilipatgandakan agar sokongan terus dapat diberikan kepada syarikat pemula yang berpotensi.
Mungkin perkara ini boleh dibincangkan dan dimasukkan dalam senarai utama pembentangan Belanjawan 2025 pada bulan Oktober ini, sekali gus ia mampu memberi suntikan semangat kepada syarikat pemula untuk terus berinovasi demi menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
















