BAGI mereka yang pernah berdepan situasi cemas yang memerlukan bantuan van ambulans, proses menunggu ketibaan kenderaan itu bagi membantu memberikan rawatan dan membawa pesakit ke hospital terdekat pastinya satu detik yang cukup mencemaskan.
Lebih-lebih lagi, sekiranya ambulans dihubungi itu mengalami kelewatan akibat faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan atau di luar kawalan seperti kesesakan lalu lintas yang teruk.
Malah, beberapa tahun lalu, seorang doktor yang merupakan salah seorang pasukan paramedik ambulans di negara ini pernah membuat perkongsian menerusi Facebook ketika berdepan detik cemas dan perlu bergegas meninggalkan lokasi kecemasan pertama untuk menuju ke lokasi kecemasan kedua.
“Ketika sedang mengendalikan satu kes kecemasan melibatkan seorang kanak-kanak yang lemas, kami menerima panggilan dari pusat panggilan kecemasan medikal yang memberitahu bahawa terdapat satu lagi kes kecemasan lain yang memerlukan respons segera.
“Kata mereka, ketika itu, ambulans lain berada jauh dari lokasi kecemasan, dan ambulans kami itu adalah yang paling dekat.
“Kami terpaksa bergegas ke lokasi kedua dan ketika itu, banyak pula kenderaan yang tidak beri laluan, walaupun siren ambulans sudah dibunyikan,” demikian perkongsian doktor tersebut yang tular.
Kerjaya sebagai seorang petugas kesihatan sememangnya cukup mencabar, lebih-lebih lagi apabila membabitkan situasi kecemasan yang boleh membahayakan nyawa.
Begitupun, dalam kes-kes tertentu, proses mendapatkan bantuan ambulans boleh menjadi sesuatu yang memakan masa, lebih-lebih lagi membabitkan isu di luar kawalan.

Justeru, sebagai usaha mempertingkat lagi respons dan penjagaan kecemasannya dalam menyelamatkan nyawa, inisatif untuk mempelbagaikan mediumnya boleh dipertimbangkan.
Terkini, sebuah hospital di Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Prince Court dengan kerjasama firma penyedia ambulans swasta terbesar negara ini, First Ambulance Malaysia telah merintis pendekatan baharu dengan memperkenalkan ambulans motosikal.
Prince Court bersama First Ambulance melancarkan ambulans motosikal elektrik (EV) pertama di Malaysia baru-baru ini.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada Perkhidmatan Penggerak Balas Pertama pusat perubatan itu bagi menyerlahkan komitmen mereka dalam menyampaikan bantuan perubatan penyelamat hayat yang lebih cepat kepada orang ramai.
Dilengkapi bekalan perubatan asas, ambulans motosikal elektrik bersiren dan lampu merah itu membolehkan pasukan paramedik tiba lebih awal di lokasi kejadian untuk menstabilkan pesakit, khususnya membabitkan situasi mengancam nyawa.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Shuba Srinivasan berkata, sebagai sebahagian daripada dedikasi hospital itu kepada kesejahteraan masyarakat, pihaknya memberikan perkhidmatan ambulans motosikal itu secara percuma kepada kes-kes yang berlaku dalam radius 10 kilometer dari lokasi pusat perbuatan itu yang terletak di Jalan Kia Peng.
“Komitmen kami terhadap penjagaan pesakit dan respons kecemasan memacu kami untuk mencapai piawai baharu dalam penjagaan kecemasan.
“Pelancaran ambulans motosikal elektrik ini justeru mewakili satu langkah signifikan dalam menyampaikan bantuan perubatan yang lebih cekap dan cepat,” katanya kepada K2.

Shuba memberitahu pemilihan motosikal jenis elektrik pula adalah satu komitmen pusat perubatan itu dalam mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan tersebut.
“Selain menyediakan kenderaan yang lebih pantas dalam menghadapi tempoh kritikal, kami juga mahu bersikap mindful kerana enggan penggunaan kenderaan ini kelak menambah kepada peningkatan pelepasan karbon,” katanya.
Shuba juga menambah, peranan ambulans motosikal itu cukup penting untuk meningkatkan kecepatan waktu respons dalam memberikan penjagaan segera kepada mangsa melibatkan kawasan lalu lintas yang sesak.
“Ambulans motosikal ini akan memberikan rawatan segera kepada pesakit seperti melakukan proses bantuan pernafasan (CPR), sehingga ambulans konvensional tiba bagi mengangkut pesakit ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan hospital.
“Ini kerana motosikal boleh bergerak lebih laju walaupun dalam situasi keadaan lalu lintas yang sesak, khususnya pada waktu puncak di ibu kota dan bantuan perubatan asas yang dibawa itu boleh membantu paramedik untuk menstabilkan pesakit,” katanya.
Ujarnya lagi, buat masa ini, hospital itu mempunyai dua unit ambulans motosikal yang kini sedia digunakan dalam situasi kecemasan.
“Buat masa ini, kami memperkenalkan dua unit sahaja yang berfungsi sebagai perkhidmatan penggerak balas pertama hospital ini.
“Namun, kami berharap agar selepas pelancaran motosikal ambulans pertama di negara ini, lebih banyak hospital lain akan turut sama perkenalkan motosikal ambulans mereka sebagai menambah baik penjagaan kecemasan di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan First Ambulance Malaysia, Steven Penafort melihat usahanya bersama mereka dalam memperkenalkan motosikal ambulans pertama seumpamanya di negara ini sebagai sesuatu yang penting dalam sektor penjagaan kesihatan.
“First Ambulance Malaysia merupakan firma penyedia ambulans swasta terbesar di Malaysia, yang mana tugas kami adalah menghantar pasukan paramedik dan doktor bagi menghadapi situasi kecemasan.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Pusat Perubatan Prince Court untuk melancarkan ambulans motosikal elektrik ini sebagai sebahagian daripada respons kecemasan kami,” ujarnya.
Penafort menambah bahawa adalah penting bagi sesebuah pasukan kecemasan untuk memberikan respons yang amat pantas kepada pesakit.
“Saya melihat pendekatan inovatif ini akan membantu paramedik kami sampai ke pesakit dengan lebih cepat, malah dapat memberikan intervensi yang perlu secara lebih berkesan,” ujarnya.
Ambulans motosikal berkhidmat 24 jam ini bagaimanapun tidak digunakan untuk mengangkut pesakit. Orang ramai yang mahu menggunakan khidmatnya hanya perlu menghubungi talian kecemasan hospital terbabit.
















