PETALING JAYA – Hanya dengan membayar tiket sebanyak RM120, individu bujang berpeluang menyertai acara ‘speed dating’ yang diadakan di kafe terbuka sebagai cara baharu untuk mencari jodoh secara bersemuka.
Dalam acara itu, setiap peserta akan diberi tempoh kira-kira lima minit untuk bersuai kenal, berbual dan berkenalan antara peserta lelaki dan wanita yang masih belum berkahwin.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! sewaktu acara ‘speed dating’ dianjurkan oleh pihak yang dikenali sebagai Pertama Kali di sebuah kafe di Kuala Lumpur baru-baru ini, ia dihadiri seramai 15 peserta wanita dan 13 peserta lelaki.
Acara dimulakan pukul 3 petang dan peserta yang telah menempah tiket ‘speed dating’ akan mendaftar diri terlebih dahulu. Mereka turut diberikan pelekat untuk ditulis nama masing-masing serta satu kertas mengandungi nama peserta.
Peserta wanita diberikan kertas yang tertera kesemua nama peserta lelaki, begitu juga sebaliknya. Setiap nama tersebut diletakkan skor yang akan dinilai sendiri oleh peserta.
Seterusnya peserta wanita duduk di meja masing-masing terlebih dahulu dan sebaik sahaja acara bermula, peserta lelaki akan pergi ke tempat peserta wanita untuk sesi berkenalan.
Biarpun jumlah peserta lelaki kurang berbanding wanita, ia tidak menjadi isu kerana kesemua mereka berpeluang berkenalan antara satu sama lain.
Pengasas Pertama Kali, Nur Shameela Mohd. Firdaus, 27, berkata, ‘speed dating’ dikendalikan bersama adik kembarnya, Nur Shameera serta sepupu mereka, Nur Diyana Mohd. Sabri, 25.
“Idea ini tercetus selepas melihat ramai sepupu kami belum berkahwin. Satu hari ada terfikir pasti best jika ada acara boleh jumpa orang single. Kami suka carikan jodoh orang.
“Dari situ timbul idea untuk mewujudkan Pertama Kali,” katanya.
Mengenai cara pemadanan peserta, Nur Shameela menjelaskan, skor yang diberikan oleh setiap peserta akan dipadankan kesesuaian dengan peserta-peserta lain.
“Contohnya jika lelaki itu mendapat skor tinggi daripada seorang wanita dan pada masa sama, dia juga beri skor tinggi kepada wanita tersebut, dari situ kita akan padankan mereka.
“Jika peserta itu beri skor rendah kepada seseorang, tetapi orang itu sebaliknya memberikan skor tinggi, kita tidak akan padankan mereka untuk ke peringkat seterusnya,” jelasnya.
Nur Shameera memberitahu, sehingga kini kira-kira 200 peserta telah menyertai acara ‘speed dating’ sejak ia dianjurkan pada Mac lalu.
Katanya, acara tersebut masih baharu dan masih belum ada lagi pasangan yang disatukan sebagai suami isteri.
“Tetapi alhamdulillah, ada pasangan yang dalam proses untuk melamar,” ujarnya.
Katanya, acara ‘speed dating’ mendapat sambutan menggalakkan, lebih-lebih lagi selepas ia tular di TikTok.
“Paling ramai peserta wanita dan kita juga berdepan kesukaran mendapatkan peserta lelaki kerana jumlah mereka tidak ramai. Selepas tular ‘speed dating’ ini, kami turut menerima kecaman daripada netizen.
“Kami tak kisah, niat kami baik mahu bantu orang cari jodoh terutama mereka yang sukar mencari kekasih,” ujarnya.














