fbpx
Anggota polis yang terselamat dan tragedi serangan di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini.

Bisa peluru menjalar dalam tubuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Biarpun sudah lebih tiga bulan tragedi serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram itu berlaku, namun detik hitam yang meragut nyawa dua anggota polis masih segar dalam ­ingatan Sarjan Mohd. Hasif Roslan.

Beliau yang terselamat dalam serangan itu mengakui sedikit trauma dan masih terbayang-bayang detik hitam tembakan ketika menyarung uniform Sang Saka Biru.

Bagaimanapun, Mohd. Hasif berkata, berkat dorongan semua pihak terutama keluarga, dia kini menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan dan berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kesan tembakan yang me­nembusi bahagian bahu dan pinggul itu masih terasa kebas dan bisanya, bila saya mahu sarung pakaian atau bergerak kadang-kadang terasa sakitnya.

“Bagaimanapun, saya kuatkan semangat melawan keadaan itu, kini keadaan kesihatan saya sudah pulih 75 peratus dan sudah mampu bertugas seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, di sini kelmarin.

Terdahulu, Mohd. Hasif me­nerima sumbangan daripada Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di IPD Kota Tinggi.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Ma­hayuddin. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Apandi Senin.

Sarjan Mohd. Hasif menerima sumbangan daripada Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia di IPD Kota Tinggi.

Kosmo! pada 17 Mei lalu melaporkan, Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said maut, manakala Mohd. Hasif parah akibat ditembak dalam serangan berdarah didalangi pengganas ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan turut terbunuh ­selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di balai berkenaan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian serangan ke atas anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram itu dipercayai untuk melakukan rampasan senjata api.

Dalam pada itu, Mohd. Hasif yang kini bertugas di IPD Kota Tinggi berkata, dia sering ter­kenang dua sahabatnya yang terkorban dalam serangan berdarah itu kerana hubungan mereka sangat rapat, tidak ubah seperti adik-beradik kandung.

“Mereka berdua merupakan anak buah saya yang sangat baik, hubungan kami cukup akrab dan sering melakukan aktiviti bersama-sama.

“Saya tidak mahu pemergian mereka disia-siakan, itu juga memberi kekuatan kepada saya untuk terus bersama Sang Saka Biru,” ujarnya.

Mohd. Hasif berkata, dia masih menjalani rawatan fisiote­rapi di Hospital Kota Tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN