Fuziah menunjukkan gambar Zainol dan Abdullah yang meninggal dunia dalam kejadian kepala air tiga tahun lalu.

‘Setiap kali langit gelap kami gelisah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – Biarpun sudah tiga tahun fenomena kepala air yang melanda daerah ini khususnya kawasan peranginan Titi Hayun berlaku, namun tragedi yang meragut enam nyawa itu masih menghantui penduduk, malah mereka trauma setiap kali hujan lebat dalam tempoh lama.

Kejadian malang sekitar pukul 4.30 petang pada 18 Ogos 2021 itu ibarat mimpi ngeri yang sukar dipadam khususnya waris terdekat mangsa terkorban.

Bagi Fuziah Morad, 56, adik kepada mangsa yang maut dalam kejadian itu berkata, setiap kali melihat langit gelap, dia akan gelisah selain terkenang insiden kepala air yang meragut nyawa abangnya, Zainol, 65.

“Masih terbayang kelibat Allahyarham singgah menziarahi saya di Kampung Permatang Ke­ramat pagi hari kejadian sebelum 11 jam kemudian dia ditemui mati berdekatan kebun buah miliknya di kaki Gunung Jerai.

“Hancur hati saya kerana Allahyarham bukan sahaja abang yang baik kepada ahli keluarga tetapi juga disenangi kenalan kerana sikap ramah dan rendah dirinya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, kejadian berkenaan turut meragut nyawa seorang lagi abangnya Abdullah, 64, yang meninggal dunia enam bulan kemudian.

Katanya, pada hari kejadian, Abdullah membantu Zainol dan pekerja mereka menyiapkan pembinaan rumah di kebun di kaki Gunung Jerai itu.

“Sekitar pukul 5.10 petang hari kejadian, saya dimaklumkan penduduk kampung beberapa kebun buah-buahan termasuk milik abang rosak teruk dibadai arus deras selepas hujan lebat.

“Saya hampir pengsan apabila beberapa minit kemudian menerima perkhabaran dua abang dan pekerja mereka hilang dibawa arus,” ujarnya.
Abdullah yang pada mulanya terselamat kerana pengsan me­ninggal dunia pada 24 Februari tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dipercayai kesan insiden itu.

MOHD. JAMIL (dua dari kiri) bersama anggotanya berkunjung semula ke kawasan peranginan Titi Hayun, Yan baru-baru ini.

Sementara itu, Komander Pa­sukan Khas Must Team Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Jamil Mat Daud berkata, dalam operasi menyelamat mangsa tragedi, pasukannya menghadapi kesukaran kerana kawasan gelap dan penuh batu besar serta pokok yang diha­nyutkan arus deras.

“Kami berjaya menemui satu-satunya mangsa yang terselamat, Abdullah di sebalik timbunan pokok pada malam kejadian, manakala Zainol ditemui maut dalam kea­daan dihimpit batu besar berdekatan kebun buah mereka.

“Keadaan muka bumi di kawasan bencana yang berubah sama sekali menyebabkan kami sukar untuk membawa peralatan menyelamat tetapi disebabkan tanggungjawab kita bertungkus lumus dalam operasi terbabit,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Norasma Ali, 57, yang tinggal di Kampung Telok Mat Acheh berkata, kejadian kepala air itu hampir meragut nyawanya dan suaminya, Mohamad Zabidi, 58.

“Ketika itu banyak kemusnahan berlaku yang disebabkan oleh air berlumpur memasuki rumah selain turut membawa bersama balak yang menghentam rumah penduduk,” katanya.

Bencana kepala air yang ­melanda kaki Gunung Jerai telah menyebabkan banjir kilat di lebih 10 buah kampung dan kawasan peranginan di sekitar daerah Yan, Gurun dan Merbok, Kedah.

Lebih 1,000 keluarga yang tinggal di kaki gunung se­tinggi 1,217 meter itu terjejas ­teruk apabila ada kediaman dinaiki banjir lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN