fbpx
Abdul Hakim melakukan gimik pelancaran pada Majlis Peluncuran Kempen 1Bulan 1Wakaf 2024 di Gombak, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh NURUL NAJWA HASRAN / KOSMO!

PPZ-MAIWP lancar Kempen 1Bulan 1Wakaf 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen 1Bulan 1Wakaf 2024 berlangsung selama lima bulan bermula 1 Ogos hingga 31 Disember ini.

Kempen tersebut bertujuan mengumpul dana wakaf tunai bagi menampung kos diperlukan untuk pembangunan, menaik taraf dan pembelian peralatan bagi lima projek terpilih dengan keseluruhan perbelanjaan RM21,952,350.

Abdul Hakim (lima dari kiri) pada Majlis Peluncuran Kempen 1Bulan 1Wakaf 2024 di Gombak, Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh NURUL NAJWA HASRAN / KOSMO!

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, sebagai permulaan untuk bulan Ogos, pihaknya menumpukan pengumpulan dana pada Pembangunan Pusat Dakwah OKU Penglihatan untuk Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

“Pembangunan pusat dakwah ini salah satu inisiatif menyediakan pusat sehenti bagi aktiviti dakwah, pentadbiran dan pengoperasian ahli-ahli Pertis. Ia juga untuk membantu orang kelainan upaya (OKU) penglihatan menjana pendapatan mereka melalui penghasilan al-Quran Braille.

“Projek pembangunan ini memerlukan dana sebanyak RM5.7 juta dan setakat ini, jumlah kutipan wakaf terkumpul hanyalah RM34,000 sahaja.

“Secara peribadi saya merasakan ini tanggungjawab kita membantu dan menyumbang kepada kecukupan sana untuk menampung kos projek ini serta projek yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Kempen 1Bulan 1Wakaf 2024 di Dewan Masyarakat Taman Medan Idaman, Gombak di sini hari ini.

Abdul Hakim berkata, bagi projek seterusnya ialah pembelian bas wakaf untuk kegunaan doktor pelatih berulang-alik ke hospital dan pembelian peralatan perubatan untuk pesakit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia pada September.

Katanya, bagi bulan Oktober pula, pembelian ‘smartboard’ untuk kegunaan pembelajaran sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan, diikuti pembangunan dan pembinaan bangunan tambahan Madrasathul Ghoutiyyah, Brickfields (November) serta pembelian 30,000 naskhah al-Quran kegunaan pelajar sekitar Wilayah Persekutuan (Disember).

Mengulas lanjut, beliau menggalakkan umat Islam melaksanakan budaya berwakaf memandangkan projek-projek tersebut tidak dapat dilaksanakan selagi kutipan itu tidak mencapai sasaran.

“Ibadah zakat ini perlu disuburkan bukan hanya kepada diri sendiri, bahkan kepada insan tersayang supaya budaya ini diteruskan dari generasi ke generasi.

“Kita mengalu-alukan orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) contohnya, atau mungkin jika ada wang tidak patuh syariah daripada agensi dan sebagainya, boleh disalurkan untuk wakaf,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN