MELAKA – Empat individu termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dan melakukan khianat dengan menyimbah cat terhadap harta milik keluarga peminjam bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Amir Suhaimi, 18, Musmuliadi Suhaimi, 43, dan Putri Noviana, 23, mengaku tidak bersalah, manakala adik Musmuliadi, Ahmad Zamarulhisham, 23, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Muhammad Amir dan Ahmad Zamarulhisham yang juga adik-beradik didakwa menyimbah cat berwarna biru dan hijau ke atas harta benda milik keluarga peminjam sehingga mengakibatkan kerugian RM2,000.
Kesalahan dilakukan di Taman Limbongan Permai, Taman Bukit Rambai, Kampung Telok Bukit Katil, Taman Pantai Emas dan Taman Bukit Tasik Utama di sini pada 11 dan 14 Julai 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Musmuliadi dan Putri Noviana didakwa atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan khianat bersama dua beradik tersebut.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap satu pertuduhan terhadap setiap tertuduh, manakala Putri Noviana pula tidak dibenarkan diikat jamin. – KOSMO! ONLINE