fbpx
ANTARA sijil akademik palsu yang menggunakan jata kementerian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ijazah sarjana muda paling banyak ‘klon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat pe­nyaringan latar belakang ter­kemuka, Verity Intelligence Sdn. Bhd. mendedahkan kes pemal­suan sijil akademik paling banyak yang dilakukan adalah melibatkan ijazah sarjana muda.

Pengarah Urusannya, Mark Leow berkata, perkara itu dikesan melalui saringan latar belakang dan akademik pemohon yang dilaksanakan dari Januari 2023 sehingga Jun 2024.

“Kes pemalsuan sijil ijazah sarjana muda merekodkan sebanyak 689 kes bersamaan 53.9 peratus kes, diikuti 416 kes membabitkan diploma (32.3 peratus) dan 108 kes bagi ijazah sarjana (8.27 peratus).

“Selain itu, turut dikesan sebanyak 51 kes pemalsuan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 3.96 peratus termasuk 9 atau 0.72 peratus kes sijil doktor falsafah (PhD) serta 5 kes masing-­masing bagi program asasi dan sijil keahlian profesional,” katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan sebanyak 1,300 kes pemalsuan sijil akademik dikesan oleh firma berkenaan yang dipercayai digunakan segelintir individu ter­utama dalam kerjaya.

Mengulas lanjut, Mark berkata, pihaknya mendapati penggunaan sijil palsu itu bukan sahaja berlaku dalam syarikat swasta, malah turut melibatkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kes paling tinggi dikesan ­iaitu sebanyak 80 peratus adalah membabitkan industri kewangan seperti bank, syarikat insurans dan beberapa kes yang melibatkan GLC.

“Jawatan paling banyak yang dimohon pula adalah eksekutif, namun terdapat juga beberapa kes melibatkan permohonan bagi jawatan ‘senior level’ (pengurus),” ujarnya.

Sehubungan itu, Mark ber­kata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat mahupun agensi kerajaan bagi membuat saringan dan pemeriksaan terhadap latar belakang individu.

“Kami sangat terbuka untuk melaksanakan saringan bagi mana-mana pihak terutama syarikat GLC. Ini kerana, mereka merupakan kakitangan awam yang ber­khidmat untuk rakyat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN