SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengakui pihaknya sukar membendung segala maklumat yang terdapat di dalam media sosial termasuk tawaran sijil akademik palsu.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, walau bagaimanpun semakan berhubung dokumen itu boleh dibuat melalui MQA, Jabatan Pendidikan Tinggi dan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terlibat.
“Dalam dunia digital sekarang sukar untuk kita membendung semua maklumat yang datang terutama daripada media sosial, namun semakan boleh dibuat sama ada melalui MQA, JPT atau IPT,” katanya.
Beliau menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau tawaran sijil akademik palsu yang kembali berleluasa di media sosial.
Jelasnya, kegiatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang dan akan mendatangkan risiko kepada penjual, pembeli dan majikan yang mengambil pemegang sijil kelayakan palsu berkenaan.
MQA merupakan badan yang bertanggungjawab mengawal selia kualiti program akademik bagi IPT tempatan.
Bagi lulusan luar negara, MQA mempunyai jaringan badan akreditasi antarabangsa yang boleh menyemak kesahihan sijil berkenaan.
“Semakan ini penting terutama bagi majikan yang mahu mendapatkan pengesahan kelayakan calon yang memohon kerja di syarikat masing-masing.
“Penggunaan sijil palsu ini merugikan pekerja sendiri kerana ia satu penipuan,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, secara umumnya penjualan sijil palsu peringkat pendidikan tinggi sudah berlaku sejak 1980-an lagi di Amerika Syarikat.
Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada MQA terlebih dahulu supaya tidak terjerat dengan helah sindiket sijil palsu.
Semakan boleh dibuat dengan merujuk ke Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) menerusi pautan https://www2.mqa.gov.my/mqr/.
Bagi peringkat ijazah kedoktoran/ijazah kehormat, semakan boleh dibuat menerusi portal Jabatan Pendidikan Tinggi di pautan https://dohe.mohe.gov.my/award/.














