Pada zaman serba maju masa kini, penggunaan media sosial menjadi medium terkini dalam penyampaian maklumat disebabkan ia mampu menyampaikannya dengan lebih cepat dan pantas.
Media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram, Telegram dan seumpamanya telah menjadi wadah penyebaran maklumat dan perhubungan yang maha penting dalam
kehidupan seharian umat manusia di seluruh dunia.
Bagaimanapun, ramai dalam kalangan kita menjadikan medium yang sepatutnya dijadikan alat untuk mengeratkan silaturahim menjadi sebaliknya, menjadikan ia sebagai tempat untuk mengadu domba dan menyemarakkan api perbalahan sesama sendiri.
Sekarang bahan maklumat seperti berita, gambar dan video boleh dikongsi hingga mampu menjadi viral dalam sekelip mata.
Dalam keghairahan pengguna media sosial berkongsi maklumat, ramai seakan-akan lupa tentang adab dan sopan.
Apabila perkongsian viral di media sosial meletus, terdapat kalangan netizen terus memberi komentar yang jelek dan tidak sepatutnya diucapkan tanpa menyelidik kesahihannya.
Pelbagai kata-kata kesat dilemparkan hingga mengguris hati mereka yang terlibat sedangkan hakikat sebenar jauh meleset daripada apa yang difikirkan oleh netizen.
Tidak kurang ramai juga yang menjadi hakim ‘segera’ dengan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang dalam kes-kes jenayah umpamanya, sedangkan ia baru sahaja memasuki fasa perbicaraan di mahkamah.
Begitu juga dalam bab agama, ramai juga yang boleh menjadi ‘ustaz’ atau ‘mufti’ jadian seolah-olah merekalah yang lebih ulama daripada ulama muktabar dengan mengeluarkan hukuman ke atas orang lain tanpa rasa berdosa dan bersalah.
Mereka seolah-olah lupa pada ajaran agama Islam yang mahu umatnya tidak bercakap semberono tanpa fakta hingga boleh terjerumus kepada dosa mengata dan mengumpat saudara seagama.
Apa yang mereka mahu adalah kepuasan diri sendiri tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain di sekeliling mereka.
Kata-kata nasihat daripada ilmuan agama dan para ustaz mereka pinggirkan begitu sahaja sehinggakan ada yang sanggup menuduh golongan agamawan yang tidak sehaluan dengan pemikiran mereka sebagai penunggang agama.
Ingatlah, hakikat kehidupan kita bukan hanya di dunia yang sementara ini, tetapi perlu memikirkan nasib kita di akhirat sana dengan membawa bekalan pahala dan amal
kebaikan sebanyaknya dan bukannya menggalas dosa mengata serta menyakiti perasaan orang lain dalam keadaan sedar.
Justeru, janganlah sibuk mengata tentang hal orang lain sampai melupakan tentang dosa dan pahala.
Kita tidak mahu semua itu menjadi asbab amalan kita tidak diterima di sisi Allah pada hari amalan kita dihisab di akhirat nanti.














