SALAH satu trend paling popular kita lihat di pentas peragaan antarabangsa adalah pengaruh kombinasi inspirasi militari/tentera dan gaya feminin.
Secara psikologi, sama ada kita akui atau tidak, apabila kita memakai pakaian dengan elemen militari, ia akan memberi rasa kuasa dan prestij dalam penampilan. Trend ini cukup chic, edgy digayakan di jalanan serta di mana sahaja.
Gaya dan elemen militari sememangnya telah lama muncul dalam trend fesyen kontemporari. Pereka legenda seperti Coco Chanel popular dengan rekaan sut kelasi, Yves Saint Laurent dengan rekaan kot pea dan koleksi safari di era 60-an, juga jenama Burberry dengan kot trench yang begitu ikonik, kesemuanya diinspirasikan daripada elemen ketenteraan.
Oleh itu, adalah tidak memeranjatkan untuk musim ini menjadi kemestian menggayakan salah satu helaian dengan inspirasi militari untuk memberi impak yang kuat dan berani dalam penampilan.
Para pereka antarabangsa juga cukup kreatif dan inventif dalam menghasilkan helaian pakaian dengan dekorasi inspirasi ketenteraan seperti epaulets (tanda/simbol pangkat), butang emas dan variasi teknik passementerie atau sulaman.
Fabrik khaki, kulit dan suede mendominasi koleksi-koleksi trend militari ini.
Kombinasi rona hijau zaitun, biru kelasi, camel, kelabu, hitam yang dipadankan dengan sedikit rona terang/ kontras (contoh: jingga atau kuning) atau reka corak menarik pada helaian pakaian, beg atau aksesori dapat membangkitkan aura ceria pada si pemakainya.
Panduan gaya militari sealiran trend dikongsikan dalam keluaran Stailo kali ini.
Jaket
Antara rekaan pakaian elemen militari yang perlu ada dalam almari wanita adalah seperti jaket dan vest gaya tentera, seluar kargo, baju panas gaya dengan jalur inspirasi kelasi (sailor), kot pea dalam rona biru kelasi (navy) atau hitam adalah antara gaya klasik yang malar segar selamanya.
Jalur
Gayakan baju panas jalur, jean dan sneaker putih untuk penampilan cukup chic dan fashionable. Perlu diingat, helaian pakaian militari perlu disuai padan dengan elemen rekaan yang kasual seperti jean supaya ia tidak kelihatan seperti kostum tentera.
Eksperimentasi
Selain daripada itu, cuba bereksperimentasi dengan kasut strappy wedges, aksesori jalinan kulit (braided leather) dan hiasan barang kemas dalam rona emas antik serta beg dengan rekaan sofistikated dan berstruktur untuk gaya polished penuh kewanitaan.
Gaya feminin
Untuk tampil lebih feminin cuba padankan gaya militari dengan rekaan skirt atau gaun dalam fabrik yang lembut, berikan penekanan pada pinggang dengan tali pinggang yang hebat.
Berani
Kunci utama dalam mengadaptasi trend ini dengan jayanya adalah dengan berani bereksperimentasi untuk lebih berkeyakinan dan bersahaja apabila menggayakannya. Paling penting adalah gaya ekspresi individu yang tersendiri.
















