SHAH ALAM – Demi kasih kepada anak, seorang jururawat wanita sanggup berkongsi buah pinggang dengan zuriat sulungnya yang berusia 24 tahun.
Muhammad Faqih Saiful dikesan mengalami masalah buah pinggang apabila dua kakinya dari lutut ke bawah mengalami pembengkakan sehingga menyukarkan pergerakan untuk ke tempat kerja di sebuah kedai gajet di Lembah Klang.
Maizatul Akma Osman, 44, berkata, kesihatan anaknya makin merosot selepas pemuda itu demam dan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur mendapati terdapat sindrom nefrotik salah satu penyakit buah pinggang.
“Selama lima tahun anak saya mengambil pelbagai jenis ubat, namun tidak berkesan. Hati mana yang tidak sedih melihat anak sendiri menanggung sakit pada usia muda.
“Jadi saya nekad menderma sebelah buah pinggang untuk kelangsungan hidupnya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut wanita itu, pembedahan transplan tersebut berjaya dilakukan lebih setahun lalu, namun dia tidak memaklumkan penderma itu adalah dirinya. Muhammad Faqih hanya mengetahui perkara itu selepas memasuki dewan bedah.
“Saya melakukan pelbagai ujian seperti air kencing dan darah selama enam bulan bagi memastikan ia bersesuaian. Sepanjang tempoh itu, saya dikesan mempunyai fibroid dan ia dibuang sebelum transplan dilakukan,” katanya.
Maizatul menambah, dia mengambil masa 47 hari untuk pulih dan minggu pertama dianggap paling menyakitkan.
“Jika mahu mendapatkan buah pinggang orang lain, anak saya perlu tunggu 10 atau 15 tahun lagi. Saya bersyukur anak kembali sihat, namun perlu menjalani rawatan seumur hidup. Itu lebih baik berbanding kaedah dialisis tiga kali sehari,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan pihak yang menjual buah pinggang kerana terdesak, ibu tiga anak tersebut memaklumkan secara peribadi dia tidak menggalakkan perkara tersebut.














