fbpx
ZURAIDAH dan Mok Parin menunjukkan gambar Muhamad Sufian (gambar kecil) yang di rumahnya di Lorong Wak Janggut, Jalan Tukang Ali, Kampung Sungai Boh, Pontian, semalam.

‘Nak tengok jasad walau tinggal rangka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Sepasang suami isteri menaruh harapan menggunung agar anak mereka, Muhamad Sufian Mok Parin, 39, yang hilang sejak sebulan lalu pulang ke pangkuan mereka dengan selamat.

Dengan linangan air mata, Zuraidah Bedu, 66, berkata, sejak anaknya menghilang pada 20 Jun lalu, dia dan suami, Mok Parin Miswan, 70, setiap hari menanti kepulangan anak keempat dari lima beradik di depan pintu.

Katanya, biarpun banyak tempahan dan bekerja sehingga pukul 4 pagi, Muhammad Sufian tetap akan pulang ke rumah. Lelaki itu bertugas sebagai pemandu lori pembancuh simen di sebuah pelabuhan di sini dua bulan lalu.

“Memang berat mak cik nak bercakap, tetapi sudah banyak kes orang hilang berakhir dengan perkara buruk (kematian), begitu juga risau dengan keadaan Sufian telah satu bulan dia hilang tanpa berita.

“Kalau jumpa motosikal pun tak apa, pak cik dan mak cik cukup merinduinya sehingga kami demam baru-baru ini. Sama ada hidup atau mati, saya nak tengok jasadnya walaupun tinggal rangka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurut Zuraidah, Muhamad Sufian yang membesar di Kulai tiada kawan di Kampung ­Sungai Boh ini dan biasanya selepas habis kerja, dia akan pulang berehat sebelum kembali bekerja keesokan harinya.

Tambah Zuraidah, Muhamad Sufian yang merupakan duda mempunyai seorang anak perem­puan berusia lapan tahun.

Katanya, pada pagi 20 Jun lalu, Muhammad Sufian memakai baju kuning dan berseluar coklat telah memeluk dan menciumnya sebelum keluar mening­galkan rumah dengan menunggang motosikal Yamaha Lagenda bernombor pendaf­taran JKU 6039.

“Pagi tersebut merupakan kali terakhir saya menatap wajah Sufian dan sehingga hari ini (semalam) dia masih belum pulang.

“Sudah pelbagai usaha bagi mencarinya, namun belum berjaya,” ujarnya.

Sementara itu, Mok Parin mendakwa, anaknya mungkin menjadi mangsa samun kerana difahamkan Muhamad Sufian keluar awal dari tempat kerja­nya pada hari kejadian untuk mengambil gaji kira-kira RM4,000.

“Kalau dia terjatuh atau terlibat dengan kemalangan mungkin ada pihak yang nampak kejadian tersebut, namun Muhamad Sufian tiada sebarang laporan yang diterima dari pihak berkuasa sehingga kini,” ujarnya.

Sehingga pukul 6 petang semalam, Muhamad Sufian masih belum dijumpai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN