PETALING JAYA – Ibu bapa atau penjaga tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kehilangan anak mereka kerana kelewatan membuat laporan polis dikhuatiri akan membawa kepada kematian mangsa.
Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, bagaikan satu trend sekarang apabila ada ibu bapa yang melaporkan kehilangan anak lebih dari tempoh 24 jam, malah sampai berhari-hari hilang baru buat laporan.
Menurutnya, banyak kejadian orang hilang berakhir dengan tragedi tidak diingini seperti kematian dalam keadaan tragis.
“Jika laporan polis dibuat seawal mungkin, peratusan untuk mangsa hilang dijumpai semula dengan selamat lebih tinggi.
“Bagaimanapun, sekarang macam satu trend ibu bapa lewat melaporkan kehilangan anak mereka sehingga menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Tidak perlu tunggu 24 jam, jika curiga anak tidak balik atau hilang ketika keluar rumah, segera buat laporan polis,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Shahul memberitahu, pengadu boleh menarik semula laporan jika anak mereka ditemukan semula.
Selain itu, katanya, ibu bapa perlu sentiasa cakna dengan perubahan anak dan mendampingi mereka pada situasi berkenaan.
“Sentiasa awasi tingkah laku anak-anak jika ada perangai pelik atau tak pernah berlaku sebelum ini, terus tanyakan kepada mereka. Jangan biarkan sendirian.
“Ibu bapa atau penjaga juga perlu ambil tahu dengan siapa mereka berkawan dan kalau boleh simpan nombor telefon kenalan anak untuk rujukan,” ujarnya.
Tambahnya, ibu bapa atau penjaga juga boleh menasihatkan anak-anak untuk sentiasa berkongsi lokasi semasa atau menggunakan live location apabila keluar rumah.
Katanya, langkah itu supaya mereka mudah dikesan sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau perkara tidak diingini.
Khamis lalu, Kosmo! melaporkan kes orang hilang semakin membimbangkan apabila rata-rata ahli keluarga risau orang yang mereka sayangi itu mungkin ditimpa tragedi dan berakhir dengan kisah menyayat hati.
Portal Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat 276 individu termasuk kanak-kanak dan remaja berusia belasan tahun dilaporkan hilang di seluruh negara sejak 2010. Sehingga kini mereka masih belum ditemui.
Semalam, Kosmo! turut melaporkan tiga lagi remaja perempuan hilang, masing-masing berlaku di Petaling Jaya, Sungai Petani dan Bentong melibatkan remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk orang awam menunggu sehingga 24 jam sebelum membuat laporan polis bagi kes orang hilang.
Kejadian orang hilang semakin membimbangkan apabila seorang gadis, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang hilang di Tanjung Malim pada 10 Julai lalu ditemui mati pada Isnin lalu.
Mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris itu dijumpai dalam keadaan mengembung selepas dibunuh kekasihnya di ladang sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.















