DALAM era media sosial masa kini, muncul golongan yang mempunyai beratus-ratus ribu, malah jutaan pengikut di akaun sosial yang digelar pempengaruh.
Daripada menghasilkan kandungan lucu, seram dan ilmu pengetahuan, sehingga konsep fesyen, makanan dan gaya hidup mewah, semakin ramai pempengaruh kini dilihat seperti sengaja mencipta kontroversi murahan bagi meraih pengikut.
Disebabkan trend itu, berlakunya lambakan influencer sampah atau ‘tin kosong’ yang membuat kandungan mengarut serta pempengaruh scammer dengan kandungan palsu.
Bagi penulis yang sudah berusia pertengahan 30-an, ada masanya terfikir, adakah trend ini seiring dengan ledakan teknologi yang didorong oleh budaya Gen Z atau mencakupi semua golongan usia tanpa mengira latar belakang demografi?
Namun, yang pasti, penulis mungkin berada dalam kelompok segelintir individu yang tidak bersetuju dengan trend mengangkat pempengaruh ke tahap apa yang dibilang sebagai Key Opinion Leader (KOL) tanpa mengambil kira kandungan media sosial mereka.
Menurut Pakar Kerja Sosial di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr.
Mohd. Suhaimi Mohamad, tidak semua pempengaruh layak menerima gelaran itu.
“Apa yang membezakan seseorang itu layak digelar pempengaruh atau tidak adalah etika terhadap penonton dan pengikut.
“Seseorang itu tidak layak digelar pempengaruh sekiranya dia menyebarkan maklumat palsu atau manipulatif kerana melanggar tanggungjawab sosial dan meninggalkan impak negatif kepada pengikut, malah mencetuskan masalah sosial yang lebih kompleks dalam masyarakat,” jelasnya.
Disoal mengenai kehidupan yang ditonjolkan oleh ramai pempengaruh di media sosial, Mohd. Suhaimi berkata, orang ramai diingatkan agar tidak mudah tertipu dengan apa yang dipaparkan kerana ia bukan realiti kehidupan.
“Pempengaruh perlu sentiasa memikirkan pelbagai cara untuk memanipulasi netizen bagi menambah pengikut,” ujarnya.
Seterusnya, pasti ramai tahu bahawa semakin ramai pengikut, semakin tinggi bayaran yang diterima oleh sesetengah pempengaruh untuk membuat product review misalnya,
selain ia membantu mereka menjual produk keluaran sendiri, bagi yang berniaga.
Sejujurnya, tidak salah taktik tersebut jika ia dilakukan dengan penuh beretika dan menggunakan kandungan berkualiti.
Namun, sekiranya objektif itu dicapai menggunakan modus operandi yang tidak beretika, menipu netizen dengan mencipta kontroversi murahan, mengupah individu untuk berlakon sebagai kekasih gelap atau watak dibenci masyarakat, maka mereka tidak layak sama sekali menerima perhatian kita.
Cukup-cukuplah mempopularkan individu yang tidak layak, ‘mengkayakan’ mereka, bertelagah sesama sendiri untuk mempertahankan penipuan mereka dan mempercayai muslihat mereka sedangkan pada akhirnya, kita yang gigit jari menunggu gaji di tengah bulan.














