KEMAMAN – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi mangsa terbaharu kes termakan makanan dicampur racun oleh pekebun untuk menghalau kera dalam kejadian di Kampung Air Putih di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu, Mohd. Daynail Haikal Alias ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mulut berbuih sebelum dia dikejarkan ke Hospital Kemaman.
Bapa mangsa, Alias Saras, 57, berkata, anaknya ada memaklumkan yang dia tidak sempat menelan kepingan biskut tersebut, sebaliknya hanya mengunyah sebelum meludah untuk mengeluarkan makanan itu.

Katanya, kesan racun tersebut bagaimanapun didakwa sangat kuat sehingga menyebabkan anaknya menggelupur seperti ayam yang disembelih.
“Ketika Haikal gigit biskut itu, rakannya yang ternampak perbuatan itu terus melarangnya daripada memakan makanan tersebut.
“Sebab itu Haikal tidak sempat menelan, sebaliknya meludah kembali makanan itu selepas lidahnya terasa masam.
“Lima minit kemudian, dia tiba-tiba terjatuh dan menggelupur seperti ayam yang baru disembelih dengan mulutnya berbuih. Selepas itu, anak tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Kampung Air Putih di sini semalam.
Alias berkata, dia tidak dapat membayangkan keadaan anaknya sekiranya termakan kepingan biskut tersebut.
Katanya, kejadian tersebut berlaku ketika Haikal yang merupakan anak keempat daripada lima beradik baru sahaja selesai menjalani latihan memanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Dadong sebelum pergi memancing di parit berdekatan kebun pisang bersama rakannya.
Sebelum itu, katanya, Haikal sempat makan tengah hari di rumah rakannya.
“Sewaktu melalui kebun berkenaan, anak saya melihat ada biskut yang digantung di pagar kebun.
“Tanpa mengetahui makanan itu sudah dicampur racun, dia terus mengambilnya.
“Bukan hanya satu biskut yang digantung, tetapi banyak. Biskut itu dimasukkan dalam plastik putih dan memang mudah jadi tarikan untuk budak-budak,” katanya.
Alias berkata, biskut itu dipercayai digantung di pagar kebun bagi tujuan menghalau kera dan haiwan liar yang lain.
“Susulan kejadian itu, anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sehari sebelum keadaannya stabil. Alhamdulillah dia kini semakin pulih,” katanya.
Alias berharap, kejadian yang berlaku itu dijadikan pengajaran dan meminta pekebun untuk tidak meletakkan makanan bercampur racun yang boleh menarik perhatian kanak-kanak semata-mata untuk menghalau haiwan liar di kebun.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kejadian dua beradik masing-masing berusia dua dan tiga tahun yang meninggal dunia akibat termakan jajan beracun yang diletakkan pekebun untuk menghalau monyet di Kampung Padang Ubi, Kulim, Kedah.
Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas 120 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Pulau Pinang, iaitu dua hari selepas abangnya, Muhammad Akil, 3, menghembus nafas terakhir di hospital sama.
Terdahulu, dua beradik itu ditemui dalam keadaan menggelupur kesakitan selain mulut berbuih selepas dipercayai termakan keropok yang telah dicampur racun tikus.
Jajan berkenaan didakwa dipasang oleh pekebun untuk memerangkap monyet yang sering mengganggu tanaman dan kediaman penduduk.
Susulan itu, polis telah menahan reman seorang individu bagi membantu siasatan.














