fbpx
Salah satu punca ibu bapa gagal mengawal anak autistik kerana mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding kanak-kanak normal. -Gambar hiasan.

Jangan sampai ‘membunuh’ anak autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu bapa yang tidak memiliki ilmu menguruskan anak autisme akan menyebabkan mereka tertekan dan gagal mengendali situasi di luar jangka hingga boleh membunuh golongan istimewa tersebut.

Presiden Persatuan Kebangsaan Au­tisme Malaysia, Datuk Me­gat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin berkata, ia merupakan salah satu punca ibu bapa gagal mengawal anak autistik kerana mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding kanak-kanak normal.

Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak autisme perlu mendapatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mendidik dan mengurus.

“Ibu bapa yang ada anak autistik ini bukan senang, mereka perlu faham dan perlu belajar apa itu autistik, baru mereka mampu menjaga anak-anak istimewa itu.

“Kalau tidak ada ilmu, mereka tidak akan mampu mengawal pergerakan dan tindakan anak-anak autistik. Akibatnya, ibu bapa jadi tertekan sehingga boleh menjurus kepada tindakan tidak sewajarnya termasuklah membunuh,” katanya.

Menurut Megat Ahmad Shahrani, ramai ibu bapa tidak mempunyai ilmu mengenai autisme akan mengambil tindakan paling mudah ialah mengurung anak autistik daripada bergaul.

Tambahnya, terdapat juga kes anak autistik diseksa emosi dan mental selain melakukan pen­deraan fizikal kerana terlampau tertekan dengan cabaran besarkan anak autistik.

“Penelitian mendapati hanya 50 peratus ibu bapa yang memiliki anak autistik mempunyai ke­sedaran dan mahu belajar menjadi lebih baik dalam membantu pembesaran golongan itu,” katanya.

Ujar Megat Ahmad Shahrani, selebihnya hidup dalam keadaan penafian dan tidak mahu mene­rima kenyataan sehingga mendesak anak autisme membesar dengan cara yang bertentangan dengan keperluan mereka sebagai autistik.

Menurut Ahmad Shahrani, autisme boleh dikesan seawal usia 18 bulan atau dua hingga tiga tahun melalui ciri-ciri se­perti kesukaran berkomunikasi, berinteraksi sosial, tingkah laku berulang serta masalah sensori dan fizikal.

Jelasnya, meskipun autisme dikategorikan sebagai penyakit istimewa yang tiada ubat, namun sekiranya ibu bapa berjaya mengesan simpton awal autisme pada anak mereka, kanak-kanak ini mampu menjalani kehidupan seperti orang normal lain.

“Ia turut merangkumi rawatan multidisiplin yang merangkumi terapi pertuturan, terapi pekerjaan dan pendidikan khas.

“Kanak-kanak autistik memerlukan perhatian, bimbingan dan kasih sayang berterusan daripada orang terdekat termasuk ibu bapa. Jangan mudah berputus asa kerana setiap perhatian dan bimbingan yang baik memberi impak positif,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN