fbpx
Masjid Rahmatullah antara masjid indah tumpuan pelancong dan masyarakat tempatan di Aceh.

Aceh kaya budaya dan senario islamik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Peluang menjejaki Aceh, Indonesia baru-baru ini memberikan pengalaman amat bermakna, apatah lagi ini kali pertama penulis berkunjung ke kota yang dahulunya dikenali sebagai Kutaradja itu.

Ternyata, sepanjang lima hari empat malam di sana bagi memenuhi jemputan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, persepsi terhadap Aceh amat berbeza kerana wilayah itu bukan sahaja kaya dengan budaya dan nilai islamik, malah terdapat pelbagai lokasi indah untuk dikunjungi.

Sinonim dengan jolokan Serambi Mekah, kita semua sedia maklum wilayah itu semakin bangkit dan pesat membangun selepas dibadai tsunami hampir dua dekad lalu.

Segala cerita dan maklumat dapat diperolehi tatkala berkunjung ke salah satu tarikan utama iaitu Muzium Tsunami Aceh yang menyimpan 1,001 memori tatkala kota itu dilanda tsunami pada 26 Disember 2004.

Muzium yang mula dibuka pada Disember 2009 itu bertujuan memperingati sejarah hitam tersebut.

Tragedi itu meragut kira-kira 250,000 nyawa, malah ramai yang hilang tanpa dapat dikesan susulan gempa bumi bermagnitud 9.0 pada skala richter melanda Banda Aceh.

Sekelip mata, ombak ganas berkelajuan 800 kilometer sejam (km/j) dan berketinggian hampir 30 meter memusnahkan kediaman dan infrastruktur di kawasan terbabit.

Bundiyah Sahan atau lebih dikenali sebagai Wak Kolak, 75, yang menetap di Kampung Lampulo berkongsi memori tsunaminya.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang menjual ‘kolak’ atau bubur berhampiran kampung terbabit.

“Sebelum tsunami melanda, kami dikejutkan dengan gegaran yang amat kuat menyebabkan habis barangan jualan saya bertaburan di atas jalan.

“Pada mulanya, saya menyangkakan dunia sudah kiamat dan sejujurnya, saya reda jika ini pengakhirannya, namun bahu saya ditepuk oleh seorang penduduk yang memaksa saya berlari menyelamatkan diri,” katanya.

Bundiyah kemudian sempat memanjat sebuah kapal yang dihanyutkan tsunami sebelum ia tersangkut di sebuah rumah penduduk.

“Ramai juga penduduk lain terdiri daripada lelaki, wanita serta kanak-kanak berada di dalam kapal dan kami menunggu sehingga air surut.

“Pengalaman ngeri ini tak mungkin akan dilupai sepanjang hayat dan saya amat bersyukur kerana terselamat, malah berpeluang berkongsi cerita bersama pelancong lain.

“Saya ambil iktibar dan anggap bencana ini adalah teguran daripada Allah SWT supaya kita sebagai umatnya tidak lupa dan lebih patuh terhadap suruhan-Nya,” ungkapnya.

Aceh boleh dikategorikan sebagai wilayah yang konservatif dan masih menjunjung tinggi nilai-nilai Islam.

Kapal generator elektrik yang tersadai di tengah kampung akibat diseret gelora tsunami.

Penduduk setempat juga amat menitikberatkan solat dan akan meninggalkan aktiviti yang sedang dilakukan sebelum segera ke masjid berhampiran untuk menunaikan rukun Islam kedua itu.

Terdapat pelbagai masjid yang tersergam indah seni binanya dan memiliki sejarah tersendiri antaranya Masjid Raya Baiturrahman, Masjid Baiturrahim dan Masjid Rahmatullah.

Kami berpeluang menziarahi dan menunaikan solat di tiga masjid itu yang hanya mengalami kerosakan kecil akibat tsunami.

Rasa takjub tercetus tatkala menyaksikan keindahan masjid yang turut dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara termasuk penduduk tempatan yang beribadah.

Masjid Baiturrahman dahulunya bukan hanya pernah menjadi pusat kegiatan keagamaan, malah ia pernah dijadikan markas pertahanan terhadap serangan para penjajah.

Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda, dikatakan masjid berkenaan turut digunakan sebagai pusat penyebaran agama Islam.

Bukan itu sahaja, masjid itu juga dijadikan lokasi pilihan buat anak-anak muda menuntut ilmu yang kebanyakannya datang dari Tanah Melayu, Persia, Arab dan Turkiye.

Kami kemudian dibawa mengunjungi kapal PLTD Apung 1, iaitu kapal generator elektrik milik PLN di Banda Aceh yang tersadai di tengah-tengah kampung akibat diseret gelora tsunami.

Sukar untuk membayangkan bagaimana kapal yang dianggarkan seberat 2.6 tan dihanyutkan sejauh kira-kira tiga kilometer ke daratan.

Kemudian, sungguh tidak sangka, Taman Sari Gunongan atau Putroe Phang Park yang dikunjungi juga menjadi bukti betapa romantisnya pemerintah ke-12 Aceh, Sultan

Iskandar Muda terhadap permaisurinya yang juga kerabat Kesultanan Pahang, Puteri Kamaliah.

Dikatakan Puteri Kamaliah amat merindui kampung halamannya, maka dibina satu bangunan menyerupai gunung-ganang buat mengubati kerinduannya terhadap negeri Pahang.

Selain menelusuri sejarah dan budaya, sebenarnya Aceh turut memiliki pesona sejuta keindahan antaranya Pulau Sabang atau turut dikenali sebagai Pulau Weh.

Lebih menarik lagi, penulis dibawa ke rumah penduduk tempatan untuk menikmati hidangan tradisional enak ‘kuwah pliek u’ yang memiliki rasa unik kerana dipenuhi dengan sayuran segar termasuk nangka muda, batang keladi, kacang panjang, buah belinjau dan belimbing buluh selain ‘sambal ganja’ yang tiada kena-mengena dengan ramuan terlarang, sebaliknya menjadi pembuka selera sekali gus membuatkan nasi bertambah.

Selain itu, peluang bersantai sambil menyaksikan keriuhan pengunjung bermandi-manda dan menjalankan aktiviti snorkel di Pulau Rubiah membuktikan Aceh semakin semakin mendapat tempat di hati pelancong.

Menariknya, pulau itu juga pernah menjadi tempat transit bagi jemaah haji di mana bakal jemaah akan dikuarantin selama sebulan sebelum berlepas dan sebulan selepas kembali dari kota suci Mekah.

Ini bertujuan memastikan setiap jemaah sihat tubuh badan sebelum menaiki kapal dan tidak pula membawa pulang sebarang penyakit berjangkit sekembalinya menunaikan ibadah haji.

Antara tarikan lain terbaharu yang turut dilawati ialah Gunung Berapi Jaboi iaitu gunung berapi aktif di sini dan Kilometer 0 Indonesia.

Pendek kata, tempoh singkat sepanjang berada di sini dipenuhi dengan pelbagai pengalaman baharu membuatkan penulis kagum dengan ketabahan penduduk dalam mendepani tragedi malah bangkit semula sekali gus merancakkan kembali Aceh yang kini berfungsi sebagai pusat kegiatan ekonomi, politik, sosial dan budaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN