ALOR SETAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan beberapa taktik licik membabitkan kilang-kilang haram antaranya berselindung di sebalik kilang lain, mengupah pekerja warga asing, bina dinding pagar tinggi, bina premis haram di kawasan pedalaman atau pertanian serta jauh dari laluan awam.
Menerusi pendedahan JAS kepada Kosmo!, kebanyakan kilang haram yang memproses buangan terjadual mempunyai modus operandi licik apabila menyembunyikan identiti sebenar dengan berselindung di sebalik kilang lain serta mengupah pekerja warga asing.
Salah satu kes yang berjaya dibongkar JAS pada hujung tahun lalu membabitkan sebuah kilang haram di Pinang Tunggal, Kuala Muda, dekat sini, yang didapati menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik dan sisa klinikal dengan berselindung di sebalik kilang kayu.
Semasa serbuan dilakukan ke atas kilang disyaki didalangi warga asing itu, terdapat pekerja asing cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kilang-kilang pemerolehan kembali buangan terjadual yang beroperasi secara haram kebiasaannya beroperasi secara tersembunyi di sebalik dinding pagar yang tinggi selain di kawasan pedalaman atau ladang pertanian, jauh dari laluan awam
“Sebarang urusan akan menggunakan pihak ketiga dan tidak secara langsung yang menjadikan agak sukar mengesan pemilik sebenar kilang haram tersebut.
“Berdasarkan serbuan dan siasatan yang pernah dijalankan JAS, kebanyakan pekerja di kilang haram adalah warga asing,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelas beliau, aduan awam yang dikemukakan kepada JAS merupakan salah satu mekanisme bagi membantu pihaknya melaksanakan siasatan dan penguatkuasaan terhadap kes pencemaran alam sekitar yang berlaku di luar jangkauan JAS.
“Tindakan yang kita lakukan adalah tanpa mengira sama ada kilang beroperasi secara haram atau berlesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sekiranya terdapat pelanggaran kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, siasatan dan tindakan penguatkuasaan akan dilakukan,” ujarnya.
Menurut beliau, operasi kilang yang tidak mengikut perundangan ditetapkan, sebagai contoh tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran akan berisiko mendatangkan impak negatif kepada alam sekitar dan orang awam sekitar susulan pelepasan bahan pencemar.
Katanya, setiap bahan pencemar yang dilepaskan melebihi standard ditetapkan akan memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar bergantung kepada beban pencemaran (pollution load) daripada sesuatu proses.
“Ia bukan sahaja dari kilang-kilang haram, malah apa jua kilang sekiranya pelepasan bahan pencemar ke alam sekitar tidak dikawal.
“Pelepasan melebihi standard yang ditetapkan boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan manusia terutama sekiranya bahan pencemar yang terlibat bersifat karsinogen atau gas-gas toksik,” jelasnya.
Menurutnya, pelepasan air buangan tidak dirawat yang mengandungi bahan pencemar ke dalam sungai berisiko menjejaskan kesihatan masyarakat awam.
Di samping itu, tambahnya, kilang-kilang haram juga berpotensi untuk berlaku kemalangan atau kebakaran kerana beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada agensi kerajaan seperti PBT, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
“Tambahan pula kebanyakan peralatan yang digunakan bukan menggunakan teknologi yang terkini dengan prosedur keselamatan terbaik.
“Di samping itu, kilang-kilang ini juga dioperasikan oleh pekerja-pekerja asing yang tidak kompeten,” katanya.














