fbpx
SIKAP terlampau mengurus rambut termasuk dalam perkara berhias. – Gambar hiasan

K2

Betulkah ada hadis melarang menyikat rambut?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Assalamualaikum, apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi SAW melarang untuk sikat rambut?

Jawapan: Hadis yang dimaksudkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Hasan al-Basri daripada ‘Abdullah bin Mughaffal yang menyebutkan bahawa:
Rasulullah SAW melarang daripada menyikat rambut, melainkan sekali-sekala. Riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi

Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan sahih. Dalam menafsirkan perkataan ‘ghibban’ ini, para ulama berbeza pandangan, antaranya Imam al-Hasan al-Basri menyebutkan bahawa memadai sikat rambut hanya seminggu sekali.

Manakala, Imam Ahmad bin Hanbal menyebutkan bahawa sikat rambut dengan kadar selang sehari. Ulama mazhab al-Syafi’i seperti Imam al-Baijuri menyebutkan bahawa perkataan ‘ghibban’ dalam hadis tersebut membawa maksud larangan untuk sentiasa menyikat dan mendandan rambut.

Ini kerana, sikap terlampau berlebihan mengurus rambut termasuk dalam perkara-perkara berhias dan bermewah-mewah sedangkan ia merupakan perbuatan kaum wanita.

Selain itu, ulama syafi’iyyah menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukan dengan maksud kerap. Hal ini didasarkan kepada pandangan yang dikemukakan oleh Imam Syihab al-Din al-Ramli dalam Syarh Matn al-Zubad: “Disunatkan untuk mendandan rambut secara sekali sekala iaitu mengikut kepada keperluan.”

Sebenarnya, larangan ini bukanlah bersifat mutlak kerana Imam al-Syaukani menyebutkan bahawa: “Hadis ini menunjukkan larangan terlalu sibuk menyikat rambut pada setiap hari kerana ia merupakan salah satu lambang kemewahan.”

Selain itu, dinukilkan bahawa Imam al-Munawi menyebut Nabi SAW melarang daripada menyikat rambut tersebut kerana perbuatan itu merupakan amalan selain masyarakat Arab, bahkan amalan mereka yang cintakan dunia.

Kemudian, terdapat riwayat yang lain Nabi SAW meminta Abu Qatadah RA untuk menyikat rambutnya pada setiap hari kerana beliau mempunyai rambut yang panjang.

Abu Qatadah RA meriwayatkan bahawa: “Dia mempunyai rambut yang tebal dan panjang, lalu dia bertanya kepada Nabi SAW. Maka, Nabi SAW menyuruhnya untuk memperelokkan rambutnya dengan menyikatnya pada setiap hari.

Selain itu, dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah juga mempunyai bab khusus berkenaan menyikat rambut.

Dalam bab tersebut, Imam al-Tarmizi menghimpunkan hadis-hadis berkenaan Nabi SAW menyikat dan merapikan rambut Baginda SAW.

Kesimpulan, larangan menyikat rambut dalam hadis tersebut bukanlah larangan bersifat mutlak. Namun, yang dimaksudkan oleh Nabi SAW ialah jangan terlalu sibuk menghias rambut mahupun diri sehingga mengabaikan perkara-perkara lain lebih utama.

Sedangkan pada zaman tersebut, perbuatan menyibukkan diri dengan menyikat rambut ini adalah salah satu daripada lambang kemewahan serta mereka terlalu cintakan dunia.

Selain itu, ulama syafi’iyyah seperti Imam Syihab al-Din al-Ramli menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukannya kerap. Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah menyuruh sahabatnya Abu Qatadah RA menyikat dan merapikan rambutnya yang panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN