PETALING JAYA – Sebahagian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini dalam dilema untuk memilih bidang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) apabila ada antara mereka ditawarkan kursus yang bukan menjadi pilihan.
Rata-rata mereka yang ditemui bersyukur dengan peluang melanjutkan pengajian, tetapi perlu memilih dengan berhati-hati agar kejayaan yang diimpikan berjaya dicapai.
Di Ipoh, seorang ibu, Norhazilah Ahmad, 41, berkata, anaknya mahu melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) namun gagal mendapat tempat di sana.
Sebaliknya kata beliau, Mohd. Yuszairy Shah Yushaa, 18, ditawarkan bidang kewangan di Politeknik Ungku Omar namun terpaksa menolak kerana kursus itu bukan minatnya.
“Kami tidak menafikan Politeknik Ungku Omar merupakan salah satu IPT yang ternama di negara ini namun anak tidak berminat untuk melanjutkan pengajian ke bidang kewangan
“Anak saya akhirnya memilih melanjutkan pengajian ke Kolej Poly-Tech Mara di Ipoh yang menawarkan Diploma TESL,” katanya.

Di Shah Alam, Azira Mohamad, 50, berkata, anaknya, Ahmad Najib Arbi, 18, ingin menyambung pengajian dalam kursus Diploma Pengurusan Halal Universiti Teknologi MARA (UiTM) tetapi ditawarkan Diploma Pengurusan Maklumat.
Katanya, dia berharap anaknya tidak menghadapi masalah untuk mengikuti kursus tersebut di UiTM Cawangan Rembau Negeri Sembilan.
“Memang kecewa, tetapi mungkin pilihan kedua lebih baik untuk masa depannya,”katanya.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Noor Aznida Alias, 44, berkata, anak keduanya, Muhammad Erfan Shah Imran, 18, menerima empat tawaran melanjutkan pelajaran termasuk Matrikulasi Kejuruteraan Pahang.
Selain itu, dia turut menerima tawaran bagi Kejuruteraan Komputer, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Asasi Sains Fizikal, Universiti Malaya (UM) dan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Pening juga anak saya untuk memilih tawaran terbaik untuk melanjutkan pelajaran nanti.
“Apatah lagi dia masih lagi menghadiri beberapa sesi temuduga biasiswa yang menawarkan peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya.

Noor Aznida berkata, antara temu duga biasiswa yang dihadiri anaknya yang memperoleh 9A dalam SPM ialah Petronas, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Majlis Amanah Rakyat.
“Selain sesuai dengan kemampuan akademik dan personalitinya, saya turut membantu mencadangkan anak saya memilih kursus pengajian yang memiliki kebolehpasaran kerja yang tinggi pada masa ini.
“Setakat ini, anak saya cenderung memilih UTP namun sekiranya menerima biasiswa ke luar negara, peluang itu semestinya tidak boleh dilepaskan,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pelajar cemerlang, Amir Hariz Amir Mohd. Hafiz, 18, memberitahu, dia menerima tawaran Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah dan Asasi Sains Fizikal UM.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu yang memperolehi 12A+ itu menambah, pada masa sama, dia sudah menghadiri tujuh temu duga biasiswa dan pinjaman boleh ubah daripada pelbagai penaja.
“Ada lagi tiga lagi sesi temu duga biasiswa. Ikutkan saya berminat melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.
“Tawaran biasiswa ini bukan sahaja peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara malah latihan secara percuma selepas tamat pengajian,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar lepasan SPM, Tg. Adam Qaeis Tg. Azman, 18, setakat ini dia menerima tawaran menyambung pelajaran ke Asasi Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Matrikulasi Sains Johor.
“Ikutkan memang berharap biasiswa tetapi jika tiada rezeki saya rancang melanjutkan pelajaran ke IPT yang menawarkan elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
“Paling penting dapat mencapai cita-cita saya untuk bergelar doktor suatu hari nanti,” katanya.














