PEMBERIAN buku atau apa jua bahan bacaan secara percuma sejak sekian lama menjadi antara usaha yang dijalankan oleh beberapa pihak bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Justeru, bagi menyokong budaya membaca dalam kalangan penduduk di Malaysia, jenama penjagaan kulit, Aesop baru-baru ini menganjurkan Aesop Women’s Library 2.0: Voices Unbound buat kali kedua, susulan kejayaan acara itu yang dibuat julung kalinya tahun lalu.
Aesop Women’s Library 2.0 yang diadakan pada 14 hingga 16 Jun yang lalu merupakan acara yang dinanti-nantikan orang ramai kerana selama tiga hari, pengunjung boleh datang ke dua buah cawangan Aesop iaitu pusat beli-belah TRX, Kuala Lumpur dan pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya serta membawa pulang sebuah buku secara percuma tanpa pembelian produk.
Sebahagian rak yang sebelum ini mempamer produk, diletakkan buku-buku.
Menariknya, kesemua buku yang ditawarkan adalah ditulis oleh penulis-penulis wanita tempatan dengan pelbagai mesej yang bermakna.
Sebanyak enam buah syarikat penerbitan buku tempatan telah meletakkan buku-buku mereka kepada pengunjung iaitu Lit Books, Clarity Publishing, Cite Book Garden,
Gerak Budaya Kuala Lumpur, Penwings Publishing dan Buku Fixi.
Bagi seorang pengunjung, Nurul Fatihah Ruslan, 26, dia yang amat gemar membaca teruja apabila mendapat tahu tentang inisiatif menarik itu.
“Tahun lalu, saya berkesempatan mengunjungi Women’s Library ini selepas mengetahui bahawa kami boleh mengambil mana-mana buku yang disediakan, secara percuma.
“Sebaik sahaja mendapat tahu acara ini kembali lagi untuk tahun ini, maka saya tidak melepaskan peluang untuk datang semula, kerana saya anggap ini idea menarik bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, selain turut mempromosikan buku keluaran penulis wanita tempatan,” katanya.
Sebanyak 27 judul buku diletakkan di Aesop Women’s Library antaranya Bergaji & Pokai karya Suraya Zainudin, My Mother Pattu karya Saras Manickam, Daylight Dialogue karya Charissa Ong Ty, , Tentang Pilihan karya Dr. Nur Aisyah Zainordin, Duet Me Not karya Lilian Li dan The Cats We Meet Along The Way karya Nadia Mikail.
Penulis buku My Mothers Pattu, Manickam berkongsi keterujaannya apabila buku tulisannya menjadi salah satu daripada buku yang diletakkan di Aesop Women’s Library tahun ini.
“Saya teruja kerana bagi saya, ini merupakan satu inisiatif yang cukup baik daripada pihak penganjur dalam menonjolkan penulis buku wanita tempatan.
“My Mother Pattu merupakan kompilasi 14 cerita yang penuh dengan elemen kemanusiaan. Kisah-kisah ini berkisarkan tentang kasih-sayang, kehilangan dan realiti sebenar tentang identiti, bangsa dan cara kita melihat diri kita,” katanya.
Manickam menambah, dia juga berharap agar mereka yang memilih buku My Mother Pattu mampu melihat mesej yang cuba disampaikan menerusi buku tersebut dan mengaitkannya dengan realiti sebenar sebuah kehidupan.
“Saya percaya bahawa para pembaca, tidak kira kaum, umur, pekerjaan dan status kehidupan, mampu berhubung dengan kisah-kisah itu kerana kisah-kisah ini adalah merupakan cerita-cerita kita, cerita wanita yang hidupnya bergantung kepada keputusan orang lain. Ia cerita wanita yang menjaga anak istimewa dan cerita pembantu rumah yang hidupnya bergantung kepada majikannya.
“Semua ini adalah cerita yang menggabungkan suara yang mahu didengari,” katanya.














