KOTA BHARU – Seorang bapa mengakui perlu membuang perasaan malu apabila nekad menjual nasi lemak yang dibawa penuh di dalam but keretanya di Lembah Sireh, di sini, sejak dua minggu lalu untuk menyara isteri dan seorang anak perempuannya.
Yuslam Yusoff, 25, memulakan perniagaan Nasi Lemak Bersaudara itu selepas dia berhenti kerja dari sebuah kilang di ibu negara kira-kira sebulan lalu.
Katanya, kos sara hidup yang meningkat di Kuala Lumpur menyebabkan dia sudah tidak mampu untuk menampung perbelanjaan di sana sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bersama isteri dan anaknya berusia dua tahun.
“Apabila pulang ke Kelantan, saya terus berfikir mahu buka perniagaan kecil-kecilan. Dengan modal RM200, saya beli bahan-bahan untuk memasak nasi lemak dan kelengkapan jualan.
“Saya hanya ada sebuah kereta jenis Proton Wira yang digunakan oleh kami sekeluarga untuk ke mana-mana. Jadi, kereta itu saya guna untuk membawa nasi lemak di dalam but dan membuka khemah jualan di Lembah Sireh,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Yuslam memberitahu, isterinya akan memasak nasi lemak yang dijual pada harga RM1.50 sebungkus, manakala dia pula menguruskan semua jualan makanan itu setiap hari.
Menurutnya, dia menjual nasi lemak itu bermula pukul 7 pagi sehingga kesemua 60 bungkus makanan itu habis dijual.
“Saya ada sedikit kebimbangan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemeriksaan dan menyerbu kawasan ini. Alhamdulillah, setakat ini mereka belum lagi datang.
“Hasil jualan nasi lemak itu berupaya memberi pulangan kepada saya sebanyak kira-kira RM80 hingga RM100 sehari,” ujarnya.
Menurut Yuslam, hasil jualan nasi lemak itu dapat digunakan untuk perbelanjaan dapur rumah dan modal pusingan perniagaannya.
“Berniaga dari but kereta ini memerlukan kecekalan kerana kita berniaga secara mobil. Jika PBT datang, saya boleh terus bergerak dan mungkin akan mencari tapak lain.
“Itu semua dugaan. Saya perlu membuang rasa malu dan memulakan langkah ini untuk terus maju ke hadapan. Meskipun sukar, saya perlu mencuba,” ujarnya.














