DENGAN memegang sebotol cat pada tangan kanan, Nur Hazimah Abu Harith, 26, terus menyembur cat itu ke atas kertas kanvas yang ada di depannya.
Dia memilih menggabungkan beberapa warna pilihannya untuk disembur di atas kanvas itu bagi menghasilkan gambar ruang angkasa.
Nur Hazimah berpeluang menghasilkan karya itu ketika mengikuti bengkel seni semburan cat Anchor yang diadakan di sebuah studio di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
“Bengkel seni semburan cat ini sesuatu yang menarik kerana ia memberi pengalaman baharu buat saya.
“Langkah untuk menghasilkan karya seni dengan menggunakan teknik semburan cat ini juga tidak terlalu sukar, meskipun saya tiada pengalaman.
“Karya yang terhasil juga amat memuaskan hati meskipun saya baru saja belajar,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nur Hazimah berkata, melalui bengkel tersebut, dia boleh mengajar generasi muda untuk menterjemahkan seni di tempat yang betul.
“Sebelum ini, kita sering lihat dinding-dinding sering menjadi tempat sasaran vandalisme, di mana ada yang menyembur cat di situ.
“Namun melalui bengkel ini, kita diajar untuk menghasilkan karya seni dengan menggunakan teknik semburan cat di atas kanvas.
“Oleh yang demikian, generasi muda harus mengambil peluang untuk mendalami seni ini bagi membolehkan kita menghasilkan karya di tempat sepatutnya,” terangnya.
Dalam pada itu, Atihira Natasha Haris Azman, 23, yang turut serta dalam bengkel berkenaan menjelaskan, ia sesuai untuk disertai oleh mereka yang tidak memiliki bakat seni.
“Mudah untuk memahami apa yang diajar oleh tenaga pengajar tentang cara untuk menghasilkan karya seni dengan menggunakan cat sembur.
“Saya juga merasakan teknik ini lebih mudah berbanding teknik-teknik lain dalam menghasilkan karya seni,” jelasnya.

Dalam pada itu, Atihira Natasha menjelaskan, seni semburan cat juga boleh menjadi satu terapi seni untuk seseorang menghilangkan tekanan.
Malah, dia sendiri gembira ketika mengikuti bengkel tersebut.
“Saya dapat merasakan ia boleh menjadi satu bentuk terapi bagi meredakan tekanan apabila fikiran kita fokus untuk belajar sesuatu yang baharu,” ujarnya.
Rata-rata peserta yang menyertai bengkel seni semburan cat pada hari itu menzahirkan rasa kegembiraan apabila berpeluang mencuba seni baharu.
Sementara itu, artis seni semburan cat, Mohd. Shofi Asrozi yang bertanggungjawab mengajar para peserta pada bengkel itu menjelaskan, semua seni ada cara dan konsep masing-masing.
Menurutnya, bagi yang baru mula belajar seni, mereka akan merasakan ia sesuatu yang susah untuk digunakan.
“Sebenarnya, seni semburan cat ini mudah dan kita tidak perlu melakukan banyak perkara untuk mendapatkan kesannya.
“Untuk program sebegini, saya akan tekankan tentang kemahiran asas dan bagaimana untuk menggabungkan warna,” katanya.
Tambahnya, warna asas yang sering digunakan untuk menghasilkan sesuatu karya seni dengan menggunakan teknik itu adalah merah, kuning, hijau, biru, hitam dan putih.
Penggunaan warna cat juga bergantung kepada selera pengkarya itu sendiri.
Menurut Mohd. Shofi, bagi yang tiada asas seni, mereka amat digalakkan untuk menyertai bengkel sebegitu.
“Kita sasarkan mereka yang menyertai bengkel ini bukanlah pelajar seni.
“Kita mahu orang awam biasa sahaja menyertainya dan kami akan tunjuk bagaimana karya seni semburan cat ini dihasilkan.
“Mungkin orang ramai di luar sana takut untuk berkarya dengan teknik ini kerana merasakan ia sesuatu yang sukar.
“Sebaliknya, ia mudah untuk dipelajari dan sesuai kepada semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak,” terangnya.

Dalam pada itu, Eksekutif Kanan Pemasaran Anchor Spray Paint, Muhammad Akmal Zainal berkata, tujuan utama mereka mengadakan bengkel itu adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang seni semburan cat.
“Anchor dikenali sebagai cat yang sebelum ini digunakan oleh kebanyakan kita bagi kegunaan ‘Do It Yourself’ (DIY) sama ada mengecat basikal, motosikal atau objek-objek lain.
“Namun, kali ini kami membawakan sesuatu yang baharu dengan memperkenalkan seni semburan cat kepada masyarakat.
“Kami mahu masyarakat tahu bahawa semburan cat ini juga boleh dijadikan satu karya seni,” jelasnya.
Melihat sambutan yang baik diterima sepanjang mempromosikan seni tersebut, Anchor akan membuka sebuah studio yang memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk belajar tentang seni semburan cat.
Studio itu akan mula beroperasi pada bulan hadapan dan orang ramai yang berminat boleh menyertainya dengan harga serendah RM80.
Malah, ibu bapa yang mencari aktiviti bersesuaian untuk dilakukan bersama anak-anak juga boleh memilih menyertai bengkel tersebut.
Sementara itu, Muhammad Akmal menjelaskan, bengkel tersebut diadakan bertujuan mendidik masyarakat bahawa seni semburan cat bukanlah satu perbuatan vandalisme jika ia dilakukan pada tempat yang betul.
“Perbuatan ini menjadi vandalisme jika kita menghasilkan karya seni cat sembur di tempat awam yang tidak sepatutnya.
“Jadi, kami mahu mendidik masyarakat untuk menterjemahkan karya-karya seni di tempat yang sepatutnya,” ujarnya.














