fbpx
AUNI bersama suaminya yang banyak memberi dorongan terhadap minatnya. Bukan sahaja bisnes kek tapak kudanya dengan jenamanya sendiri iaitu Dapur Azra berjaya bahkan wanita itu juga dikenali ramai dengan pengikut sebanyak lebih 596,000 di TikTok.

Bisnes kek tapak kuda diperlekeh, Auni buktikan ada masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“ADA satu perkara paling saya tidak boleh lupakan sampai hari ini sejak hari pertama saya berniaga kek.

“Ada seorang mak cik mempersoalkan adakah saya mampu bertahan dengan berniaga kek dan gajikan pekerja, selain keadaan masa depan mereka bila bekerja bersama saya? Bait-bait kata itu begitu tajam dan menusuk ke jiwa saya,” ungkap Auni Aufiyah See Abdullah.

Kata-kata berupa persoalan dan cabaran yang dilemparkan kepada wanita cekal kelahiran Sabah itu tatkala awal-awal menceburi bidang perniagaan kek benar-benar mengesankannya.

Ketika itu, Auni Aufiyah See Abdullah, 26, hanya mampu membalas dengan senyuman sekali gus menanam impian untuk membuktikan apa yang diperkatakan itu hanya omongan kosong.

Bermula dari situ jugalah, dia yang mesra disapa Auni mula bangkit perlahan demi perlahan memperkenalkan jenama kek tapak kuda dengan jenamanya sendiri iaitu Dapur Azra.

Buktinya selepas beberapa tahun berniaga dan berusaha mengukuhkan jenama tersebut dalam pasaran, dia kini mampu mengupah 46 orang pekerja secara keseluruhan.

“Alhamdulillah, mungkin jika tempoh hari saya tidak terima kata-kata daripada mak cik itu, mungkin juga saya tidak akan berada sampai ke tahap ini.

“Alhamdulillah, kesemua 46 staf saya carumkan mereka dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain menjaga kebajikan mereka dari semua aspek,” tuturnya membuka bicara bersama Aura.

Bukan sahaja perniagaannya berjaya, Auni juga dikenali ramai.Pengikutnya di TikTok menerusi akaun ownerdapurazra sudah melebihi setengah juta iaitu 596,000.

Bercerita titik tolak perniagaan kek tapak kuda miliknya, Auni memberitahu, minat dan kegemarannya terhadap kek yang bentuknya menyerupai talam kuda itu menyumbang kepada pembabitannya secara tidak sengaja.

Katanya, jika di Sabah tempat kelahirannya, setiap kali tiba musim perayaan, pasti hidangan tersebut tersedia di atas meja bagi menjamu tetamu yang datang.

Ujarnya, selepas bernikah dan berhijrah mengikut suami ke Semenanjung beberapa tahun lalu, dia merasakan begitu sukar untuk mendapatkan kek tersebut dan terdetik mencuba membuatnya sendiri di rumah.

“Saya masih ingat, selepas melahirkan anak pertama, suami menghadiahkan sebuah oven kepada saya kerana dia tahu minat saya yang suka baking (membuat kek).

“Wang pemberian suami sebanyak RM300 juga saya jadikan modal membeli bahan-bahan kek dan mesin pengadun kerana saja nak suka-suka buat kek dari rumah untuk dimakan sendiri.

“Sebelum itu lagi ketika hamil, beberapa kali saya teringin dan mengidam makan kek tapak kuda, tetapi kek gulung berinti coklat kacang hazel ketika itu sangat sukar didapati di Perak tempat saya tinggal bersama suami,” katanya.

Justeru terangnya, selepas bersalin dan habis berpantang, dia mula memberanikan diri masuk ke dapur dan membuat sendiri kek tapak kuda mengikut resipi dan caranya tersendiri.

Selang beberapa minggu, dia mula menerima tempahan permulaan sebanyak dua biji kek daripada jiran berdekatan kawasan perumahannya.

Berkongsi lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, entah bagaimana hari demi hari, permintaan kek tradisi Sabah itu semakin mendapat permintaan.

Auni perasan, kek itu mula dikenali dan diminta pelanggan selepas dia berkongsi dan memuat naik gambar kek tapak kuda tersebut di akaun media sosial miliknya.

Katanya, dia langsung tidak pernah menyangka hanya bermula dengan sebuah oven kecil dan sekadar memenuhi craving (keinginan) dirinya sendiri, ia berubah kepada perniagaan dan terus mekar mendapat sambutan hingga ke hari ini.

Beritahu Auni lagi, dia sebelum ini memang tidak pernah bekerja dengan orang lain dan langsung tidak mempunyai pengalaman bekerja makan gaji selain bergelar suri rumah tangga sepenuh masa.

“Dunia memasak dan baking (kek) memang menjadi minat saya sejak kecil lagi. Cumanya, saya tiada pendidikan formal dalam bidang bakeri dan tidak malu untuk saya katakan, tahap pendidikan saya juga hanya biasa-biasa.

“Sebelum ini juga, saya pernahlah sekali dua suka-suka berniaga secara online yang hanya mahu mencari pendapatan secara pasif seperti jual pakaian, jamu, petai dan lain-lain.

“Alhamdulillah sejak diperkenalkan pada 2021 dan bermula dari dapur di rumah sendiri, saya sudah ada hampir 50 kakitangan dan premis sendiri yang berlokasi di Slim River, Perak,” katanya.

Auni (lapan dari kiri, belakang) bersama sebahagian staf di bawah kendaliannya berdiri di depan premisnya
di Slim River, Perak.

Ditanya keunikan kek tapak kudanya berbanding pesaing lain, Auni berkata, keistimewaannya itu datangnya dari dapur rumah.

Katanya, itu juga adalah tagline (slogan) perniagaan mereka kerana semua orang tahu makanan dari dapur rumah itu memang ada keistimewaan tersendiri dan ia juga memang asli bermula dari dapur, di mana rumah tempatnya menetap.

Selain itu jelasnya, keunikan kek tapak kudanya juga mungkin disebabkan intinya yang semuanya dihasilkan secara homemade dan menggunakan bahan resipi rahsia daripadanya.

Berkongsi cabaran sepanjang tiga tahun berniaga, Auni sekali lagi mengakui setiap bisnes sama ada kecil atau besar, pasti tidak terlepas ujian tersendiri.

Katanya, selepas jenamanya mula dikenali di media sosial, tidak dinafikan banyak persaingan lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Pun begitu, pihaknya mempunyai cara dan keunikan tersendiri untuk dikenali pelanggan seperti apa yang dikongsikannya sebelum ini.

Melihat masa depan perniagaan yang cerah, Auni mahu membawa jenamanya mengorak langkah lebih jauh dengan membuka premis lebih besar dalam masa beberapa tahun lagi selain sebuah kafe sendiri.

Akuinya, dia tidak pernah terfikir mampu sampai ke tahap ini dan gembira dapat berkongsi rezeki dengan membuka peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat.

“Sebelum ini, ada juga pihak persoalkan jaminan pekerja saya yang dikatakan tiada masa depan kerana diberi gaji hari, ibarat tiada masa depan.

“Saya ingin mengubah stigma dan membuktikan perniagaan kek ini mampu mengubah taraf hidup mereka ke arah lebih baik dan jangan sesekali memandang rendah kepada seseorang.

“Sedikit nasihat saya untuk mereka di luar sana terutama suri rumah, jangan jadikan anak sebagai halangan untuk kita bertindak lebih maju ke depan dan percayalah setiap kejayaan itu perlu disertai pengorbanan,” katanya yang turut berkesempatan mengerjakan umrah hasil daripada wang bisnes kek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN