SHAH ALAM – Polemik 400 pusat tahfiz tidak berdaftar di Selangor dijangka diselesaikan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun akan datang susulan garis panduan khusus bakal diperkenalkan kerajaan negeri.
Ketika ini hanya 100 pusat tahfiz berjaya diputihkan berbanding 500 kesemuanya yang beroperasi di Selangor.
Apabila dinoktahkan, garis panduan itu juga bakal membuka lembaran baharu dari segi prosedur terutama kepada segelintir individu yang ‘bermurah hati’ dalam mewakafkan rumah atau tanah untuk pengoperasian maahad tahfiz.
Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa mengakui, garis panduan sebelum ini agak berat dan bukan berunsur pemutihan sebaliknya permohonan biasa.
Katanya, pemutihan ini adalah selaras bagi mengelakkan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur tujuh tahun lalu yang meragut 23 nyawa tidak berulang.
“Terkini pada bulan April lalu, kerajaan negeri dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan garis panduan baharu yang dibentangkan Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa Selangor. Ini adalah kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pitas, Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.
“Jadi wujud situasi menang-menang, bermakna maahad tahfiz dibantu untuk pemutihan dulu. Sepanjang proses ini, pusat tahfiz yang berisiko tidak akan dibenarkan beroperasi.
“Maahad tahfiz ada isu dari segi tempat mungkin diberikan tempat sementara bagi operasinya. Contohnya, dalam bandar atau perumahan akan diberikan tempoh operasi setiap tiga tahun.
“Apabila garis panduan ini dilaksanakan, insya-Allah sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus jumlah keseluruhan pusat tahfiz di Selangor boleh didaftarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Menurut beliau, tidak dinafikan tiada penyelarasan termasuk garis panduan sebelum berlaku kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Garis panduan JAIS diluluskan pada 2019 selepas kes kebakaran itu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula dikeluarkan dua tahun lalu.
“Jadi, ada kekhilafan saya nampak, yang mana dulu maahad tahfiz tidak perlu kepada kelulusan PBT. Maknanya, ada bomba dan kesihatan sudah boleh bina atau mendaftar,” ujarnya.
Muhamad Hafiz berkata, pemutihan ini bukan menyekat usaha dakwah melahirkan huffaz, sebaliknya ia selaras dengan prinsip kedua dalam maqasid syariah iaitu dalam menjaga nyawa kepada penghuninya.
Katanya, pemutihan di Selangor bermula apabila titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2019 yang menekankan kepada pendaftaran, penyelarasan kurikulum atau akademik terutama melibatkan aspek 3M (membaca, menulis dan mengira) dan ko-kurikulum.














