LIPIS – Kira-kira 3,000 orang penduduk berdekatan Jalan Lipis – Jerantut resah apabila tidak tahan berdepan dengan tumpahan sisa bijih timah dan debu daripada lori treler di atas jalan raya berdekatan kampung di mukim Cheka Satu dan mukim Cheka Dua di daerah ini.
Penduduk mendakwa mereka berdepan keadaan tersebut sejak dua bulan lalu apabila sebilangan lori treler muatan bijih besi dari kawasan Kechau, Lipis tidak lagi menutup bahagian belakang treler menggunakan kanvas sehingga amang dan debu jatuh ke atas jalan.
Sebaliknya, penduduk mendakwa segelintir lori treler muatan bahan mineral tersebut cuma membasahkan (bijih) sebagai ganti penutup bahagian belakang treler sehingga air mengandungi amang jatuh di atas jalan.
Penduduk Kampung Mela, Mohd Safri Salleh, 43, berkata, akibat bahan muatan amang terjatuh ke atas jalan menyebabkan sesetengah laluan antara Lipis ke Jerantut berdebu kemerahan.
“Keadaan itu juga dibimbangi membahayakan kesihatan penduduk yang menggunakan laluan ini apabila menghidu debu amang dan keadaan licin ketika waktu hujan serta boleh berlaku kerosakan tayar motosikal.
“Hari ini, saya merakamkan beberapa buah lori yang melalui jalan berdekatan kampung ini di hadapan sederet rumah nampak debu kering berterbangan sehingga ke kediaman penduduk,” katanya di Kampung Mela di sini semalam.
Dalam pada itu seorang lagi penduduk, Sabri Yusof, 40, berkata, ketika dia menunggang motosikal berselisih dengan lori bijih besi terdapat debu kemerahan jatuh dan berterbangan ke arah motosikal dan kenderaan lain.
“Belum pernah berlaku sebelum ini, tetapi sejak dua bulan lalu keadaan jalan raya berdekatan kampung kami dipenuhi debu kemerahan iaitu sisa bijih besi serta terdapat batu kecil yang membahayakan pengguna jalan raya,”katanya.
Tambahnya, keadaan itu berlaku di sepanjang laluan antara Lipis ke Jerantut yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan juga pengguna jalan raya di kawasan itu.
Sementara itu seorang penduduk Kampung Mela, Rosli Ismail, 62, berkata, sepanjang minggu ini dia melihat keadaan muatan bijih yang basah dan air jatuh ke atas jalan dan meninggalkan debu dan batu kecil ketika kering.
Jelasnya, jika keadaan ini berterusan boleh jejaskan kesihatan penduduk setempat di kampung itu.
“Penduduk berharap pihak berwajib dapat menguatkuasakan peraturan muatan bijih supaya lebih selamat di samping jaminan keselamatan penduduk dan pengguna lain semasa di jalan raya,”ujarnya.
















