fbpx
Muhammad Firdaus Hong di samping ibu bapanya, Abdul Rahman dan Nur Wandee menyambut Hari Raya Aidiladha di rumahnya di pekan Tunjang, Jitra semalam.

‘6 tahun saya berdoa, akhirnya ibu dan ayah peluk Islam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Seorang remaja mualaf dari Tunjang, dekat sini menyifatkan Hari Raya Aidiladha tahun ini sungguh bermakna apabila kedua-dua ibu bapanya yang berbangsa Tionghoa memeluk Islam, bulan lepas.

Muhammad Firdaus Hong Abdullah, 17, yang memeluk Islam sejak berusia 11 tahun berkata, pengorbanannya dengan me­ninggalkan keluarga dan me­netap di asrama sekolah agama di sini semata-mata untuk mendalami Islam berbaloi.

“Saya pilih untuk ke sekolah agama dan tinggal di asrama ketika berusia 13 tahun kerana itu saja jalan terbaik untuk meneruskan pendidikan di sebalik kemiskinan keluarga. Lebih pen­ting, saya mahu mendalami Islam, tambahan pula sejak peluk Islam saya sudah lama menyimpan hasrat agar bapa dan mak juga mengikut jejak saya.

“Namun saya tidak boleh memaksa mereka, jadi berdoa sahaja yang saya lakukan dan solat sunat banyak-banyak terutama ketika Ramadan lepas. Saya memburu lailatulqadar dan saya percaya Allah SWT makbulkan doa saya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di pekan Tunjang, di sini semalam.

Kisah Muhammad Firdaus pernah mendapat perhatian akhbar pada Mei 2019 apabila dia memeluk Islam pada usia 11 tahun dan mendapat sokongan kuat daripada ibu bapanya.

Remaja itu atau nama asalnya, Lim Ching Hong kini melanjutkan pengajian di sekolah agama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Sementara ibu bapa Muhammad Firdaus, Lim Hun Kheng atau nama Islamnya, Abdul Rahman Kheng Abdullah, 51, dan ibunya, Nur Wandee, 45, atau Wandee Sandaesa melafazkan kalimah syahadah pada 26 Mei lepas.

Menurut Muhammad Firdaus, dia tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya pada hari mendapat tahu ibu bapanya memeluk Islam seperti yang diidamkan selama ini.

“Saya mendapat berita itu daripada seorang ustaz di sekolah. Perasaan saya sangat lega dan bersyukur, saya gembira sa­ngat dan doakan mereka terus istiqamah dalam menjalani hidup sebagai saudara Islam.

“Sepanjang tahun ini pe­rasaan resah saya memuncak terutama apabila mengetahui sakit jantung mak kembali dan perlu dibedah, oleh itu saya banyak berdoa,” kata pelajar tingkatan lima itu.

Sementara itu, menurut Abdul Rahman yang bekerja di kilang perabot, Hari Raya Aidiladha ini walaupun disambut dengan sederhana, namun lebih bermakna.

“Alhamdulillah, kami dapat merayakan hari raya bersama-sama tahun ini dengan lebih bermakna. Saya dapat merasakan berkat doa Muhammad Firdaus membuka hati kami untuk mengikut jejaknya, memeluk Islam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN