KOTA BHARU – Penyeludupan haiwan dijangka terus berlaku sehingga malam Hari Raya Aidiladha berikutan bekalan lembu di Thailand sangat banyak selain harganya yang lebih murah berbanding ternakan tempatan.
Satu sumber berkata, penyeludup selalunya membeli lembu pada harga RM3,500 seekor daripada pembekal di Thailand.
“Sebaik dibawa masuk ke sini, penyeludup akan menjual pada harga RM4,500 seekor termasuk kos penghantaran dan permit untuk dibawa ke luar Kelantan.

“Semua lembu yang dijual boleh dikatakan diseludup dari negara jiran kerana harganya murah berbanding lembu kampung yang dipelihara di negeri ini.
“Faktor tersebut yang mendorong orang ramai di sini untuk membeli lembu seludup. Ia sekali gus membuatkan penyeludup tidak gentar melakukan aktiviti tersebut memandangkan keuntungan bersih bagi setiap ekor lembu mencecah RM1,000,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, seorang penyeludup mengakui dia sudah menjual kira-kira 500 ekor lembu korban seludup sejak selepas Aidilfitri yang lalu.
“Saya jalankan aktiviti ini sejak lebih 20 tahun lalu. Setakat ini sambutan amat menggalakkan.
“Pelanggan tetap akan buat pesanan lebih awal selain mereka datang sendiri ke rumah saya untuk memilih lembu,” katanya.
Katanya, selepas hampir dua bulan menjalankan kerja-kerja menyeludup, dia ketika ini sudah tidak lagi menerima tempahan pelanggan sejak kelmarin.
“Saya berhenti seketika untuk menyeludup lembu kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini terutamanya lembu diseludup dirampas pihak berkuasa.
“Kebiasaannya lembu seludup ini turut dihantar ke Perak, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, pelanggan juga faham akan risiko ibadah korban mereka terpaksa dibatalkan jika haiwan itu dirampas pihak berkuasa.














