GAMBAR HIASAN

Subsidi diesel: Mampukah peniaga kekalkan harga?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tindakan berani kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada Isnin lalu mengundang pelbagai reaksi daripada seluruh lapisan masyarakat.

Ada yang positif dan tidak kurang juga yang melahirkan kebimbangan berhubung kenaikan harga barang di pasaran.

Secara realitinya, langkah itu dikatakan mampu menyelamatkan sebanyak RM4 bilion wang negara yang sudah tentu boleh digunakan untuk tujuan pembangunan lain seperti pembinaan sekolah, hospital atau jalan yang lebih baik demi kemudahan rakyat.

Walaupun harga diesel di pasaran kini diapungkan mengikut harga semasa bahan api itu selepas penyasaran subsidi tersebut, namun terdapat 33 kategori kenderaan yang disenaraikan

Kementerian Kewangan masih layak menerima subsidi daripada kerajaan. Ia termasuklah perkhidmatan lori kargo, lori bawa barang, bas sekolah, bas ekspres dan lain-lain.

Secara teorinya, pemberian subsidi itu bertujuan untuk memastikan harga barang di pasaran dapat dikekalkan atau tidak dinaikkan ekoran kos bahan api dinikmati mereka masih sama seperti sebelum ini walaupun harga diesel di pasaran telah melonjak kepada RM3.35 seliter.

Dalam usaha untuk memastikan tiada kenaikan harga barang sekali gus mengurangkan keresahan dalam kalangan rakyat, pihak kerajaan perlu bertegas melalui pasukan penguatkuasaannya bagi memantau situasi ini secara serius.

Tidak ada gunanya kerajaan beri subsidi kepada 33 kategori kenderaan tadi, jika harga barang di pasaran tetap meningkat lebih-lebih lagi jika ia melibatkan barangan keperluan umum kerana ia akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

Persoalannya sekarang bersediakah syarikat-syarikat yang mungkin terkesan dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini untuk terus mengekalkan harga barangan atau perkhidmatan mereka seperti sebelum ini?

Kita harap, tidak akan ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang atau perkhidmatan lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang diberi subsidi diesel oleh kerajaan.

Cuma apa yang dibimbangkan ialah, ada dalam kalangan peniaga yang tidak bertanggungjawab kelak akan mencipta pelbagai alasan bagi membolehkan mereka menaikkan harga.

Sudahlah dapat subsidi diesel, tambah lagi untung dengan naikkan harga barang.

Jadi kita amat berharap, para peniaga ini akan dapat dipantau oleh kerajaan secara tegas selain dapat memastikan kadar harga barangan atau perkhidmatan ketika ini dapat dikekalkan untuk satu tempoh yang lama yang difikirkan munasabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN