Pakaian wanita moden atau kontemporari adalah salah satu cara ekspresi komunikasi individualiti. Perubahan gaya dan sikap pengguna wanita, telah mendorong mereka untuk mengambil langkah mengelak daripada gaya yang terlalu selaras atau mengikut peraturan. Pakaian kontemporari wanita kini menyediakan wanita peluang menyerlahkan individualiti dan ia kini menjadi sesuatu kemewahan paling berharga yang boleh dimiliki oleh semua. Pembentukan imej yang lebih sempurna dan penuh keterampilan paling perlu diberi perhatian, dalam usaha untuk lebih berkeyakinan dan kelihatan hebat dipandang khalayak.
Tidak terikat
Kini ramai wanita urban di Malaysia yang dulunya bersembunyi sudah mula keluar dari kepompong pemakaian konservatif mereka sealiran perkembangan trend kontemporari.
Pertambahan golongan profesional muda juga mempercepat lagi pengaruh trend ataupun fenomena ini.
Pengaruh iklan dalam media cetak atau elektronik yang menampilkan pakaian , kaca mata, kereta dan sebagainya yang selalunya menampilkan model-model wanita penuh berketerampilan sememangnya dapat memikat dan menarik perhatian mata yang melihat.
Sama ada kita akui atau tidak pada era ini, rekaan pakaian kontemporari wanita adalah lebih mencabar, pelbagai dan membuatkan pemakainya lebih teruja.
Dahulu, imej wanita mungkin agak konservatif bagi mewakili golongan profesional dan korporat, sementara jean dan kemeja-T mewakili golongan muda dan remaja, tetapi kini sesiapa pun boleh memakai apa jua yang mereka inginkan.
Padanan
Kita dapat lihat di sekeliling kita, wanita berpakaian dengan gaya individu tersendiri dan mereka mahukan gabungan pilihan pakaian yang dapat menyerlahkan lagi gaya, identiti dan keperibadian mereka.
Pilihan pakaian yang ada di pasaran adalah cukup besar serta tiada batasan dari segi bentuk, gaya dan warna.
Namun begitu perlu diingat, apabila mengayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan. Blaus, skirt, gaun, sut, jaket, kemeja, celana dan kasut anda mungkin berkualiti dan daripada jenama hebat, tetapi paling penting adakah ia sesuai dipadankan di antara satu sama lain?
Berpakaian penuh gaya (stylish) dapat dicapai jika kita tahu menata gaya secara keseluruhan (overall effect).
Bereksperimen
Bagi anda di luar sana, anda tidak perlu untuk menjadi keliru apabila memperkatakan tentang aliran fesyen terkini.
Dengan mengambil inisiatif untuk bereksperimentasi, antaranya dengan memadankan pilihan rekaan pakaian dan aksesori yang selesa dipakai mampu menarik pandangan mereka yang melihat.
Apapun, meniru trend fesyen tidak semestinya anda perlu terlebih bergaya tanpa hala tujuan.
Pilihlah rekaan yang sesuai dengan budaya kita, selagi tidak keterlaluan.
Kita boleh mengambil inspirasi daripada gaya, rekaan atau apa sahaja yang dipaparkan di dalam majalah-majalah tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan diri kita.
Potongan badan, ketinggian serta warna kulit perlu diambil kira. Yang penting, anda bijak bereksperimentasi.
















