fbpx
Pernah menjadi pramugari syarikat penerbangan Flynas di Arab Saudi, kini Seerah menjadi seorang streamer permainan video yang dikenali dengan identiti bertudung yang tersendiri.

Seerah Mahir pempengaruh ‘gamers’ berhijab unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Wanita cantik bertudung unik itu bukanlah insan asing dalam dunia penstriman e-Sukan. Namun, sebelum berjaya dalam bidang tersebut, dia sebenarnya pernah mengambil keputusan yang disifatkan paling berani dalam hidupnya.

Pernah bergelar anak kapal di sebuah syarikat penerbangan kos rendah di Arab Saudi, Flynas yang boleh dikatakan berpendapatan lumayan, Kartika Asirah Mahir akhirnya membuat keputusan meninggalkan kerjaya itu pada tahun 2018 setelah ditakdirkan mengalami kecederaan sewaktu ke tempat kerja.

Namun katanya, sebelum itu lagi, dia sudah merasakan bibit-bibit untuk meninggalkan kerjaya tersebut ekoran hambatan rasa rindukan keluarga.

Kartika Asirah atau lebih dikenali dengan nama Seerah Mahir mengakui, meskipun dibayar gaji lumayan setiap bulan, tetapi perasaan ‘homesick’ itu tidak boleh disorok lebih-lebih lagi memasuki tahun kedua perkhidmatan.

“Selain perbezaan budaya dan masalah komunikasi, saya juga terlalu rindu keluarga di tanah air terutama ibu bapa dan suami.

“Masuk tahun kedua bekerja dan selepas bernikah, perasaan ‘homesick’ itu lain macam. Nak pergi ‘fly’ pun saya rasa tiada mood dan tiada semangat bila rindukan keluarga,” katanya kepada Aura.

Beritahu Seerah, 31, sebelum itu, dia juga pernah beberapa kali mengambil cuti dan pulang ke tanah air disebabkan rindu.

“Ditambah ibu bapa yang tak pandai guna smartphone sebab dah tua, jadi agak susah nak buat panggilan video.

“Flynas pula hanya beroperasi di sekitar Asia Barat dan saya jarang dapat balik ke Malaysia melainkan memohon cuti dan membeli sendiri tiket.

“Namun, titik tolak yang menyebabkan saya ambil keputusan untuk berhenti apabila alami kecederaan kaki ketika berjalan ke tempat kerja sebelum menaiki pengangkutan ke lapangan terbang.

“Saya terjatuh dan mengalami kecederaan yang menyebabkan kaki disimen dan saya kena bergerak menggunakan bantuan tongkat sejak itu.

“Sedikit sebanyak rasa macam menyusahkan rakan serumah sebab mereka nak kena tolong jaga saya, selain ada kerja hakiki sebagai anak kapal,” katanya.

Semasa menjadi pramugari di Arab Saudi.

Justeru, Seerah merasakan itu masa yang paling ‘tepat’ untuk dia menghantar surat peletakan jawatan selepas keluarga di tanah air juga setuju untuknya berbuat demikian.

Katanya yang berdarah campuran Kemboja, setahun berehat di kampung di Pekan, Pahang dan langsung tidak bekerja serta mengambil masa untuk kembali pulih sepenuhnya, dia akhirnya mengikut suami berpindah ke Lembah Klang.

Rezeki Allah, Seerah hamil anak pertama dan selamat melahirkan pada September 2019 sebelum negara dibadai pandemik Covid-19 beberapa bulan selepas itu.

Berbekalkan minat bermain permainan video sejak kecil bersama beberapa orang abangnya, dia mula terfikir untuk aktif kembali memandangkan tidak berbuat apa-apa.

“Ketika anak berusia empat bulan dan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dijalankan, saya beritahu suami hendak cuba livestream main permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM) yang menjadi trend pada masa itu.

“Waktu itu sekadar suka-suka dan hanya nak isi kelompongan waktu. Jadi, berbekalkan komputer peribadi suami yang ada di rumah dan sebuah iPhone model 5s, saya mula livestream di aplikasi Facebook.

“Mula-mula memang sendu, tak ada sambutan langsung. Tapi saya gigihkan juga secara konsisten. Lama-kelamaan viewer (penonton) saya makin bertambah dan donation (sumbangan) yang saya terima pun sedikit sebanyak mampu bantu untuk beli keperluan dapur dan rumah,” katanya.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, dengan wang hasil livestreaming itu juga dia mula ‘upgrade’ kelengkapan penstriman kepada pc gaming, facecam, headphone dan gaming chair.

“Apa yang saya ada sekarang semua hasil daripada kutipan livestream bertahun-tahun. Semuanya bukan dapat dicapai dalam masa singkat dan begitu mudah seperti disangka,” katanya.

Berkat tidak kenal putus asa hingga berjaya dikenali sebagai salah seorang streamer terbaik Malaysia dan Key Opinion Leader (KOL) Mobile Legends, dia juga tersenarai Top 5 Influencer Esports Terjago dalam Anugerah Esukan Malaysia baru-baru ini.

Lumrah dunia, apa saja kerjaya yang diceburi pasti ada mulut-mulut kurang senang hati lebih-lebih lagi kerjayanya kini yang didominasi kaum lelaki.

SEERAH bersama suami dan dua anak mereka.

Bagi Seerah, dia menerima perkara tersebut sebagai satu bentuk cabaran dan mengambilnya dari sudut positif.

“Saya sering terima komen berbunyi wanita macam saya tak relevan untuk berkecimpung dalam bidang ini (permainan video dan penstriman).

“Mereka kata, cukup sekadar jadi suri rumah yang hanya menjaga anak dan makan pakai keluarga serta harus duduk dapur sahaja.

“Lagi mencabar, ada juga segelintir daripada mereka mengkritik cara saya bertudung tetapi saya sudah cuba sehabis baik untuk cover aurat dan dalam masa sama nak kekalkan identiti stail hijab saya sejak dari awal saya terlibat dalam streaming,” katanya.

Ditanya adakah tidak rindu kerjaya lama, secara jujur Seerah masih ada rasa minat untuk kembali bekerja di awan biru, tetapi ada kekangan lebih-lebih lagi sudah mempunyai anak dan keluarga sendiri.

Katanya, buat masa ini, dia memilih untuk tetap dengan kerjaya sekarang meskipun pendapatan tidak semewah dulu tetapi cukup untuk mereka sekeluarga.

“Ini percaturan paling berani dalam hidup pernah saya lakukan.

“Hidup saya jauh lebih bahagia sebab dapat tengok anak-anak membesar depan mata dan berada di samping suami serta keluarga tersayang sambil melakukan kerja yang saya suka.

“Sekarang ini pula alhamdulilah saya baru diberi peluang menjadi Brand Ambassador HomeBois Singapore dan saya juga seorang talent untuk Team Salty di bawah Salty News Network.

“Jadi selain melakukan livestreaming setiap hari, saya juga membuat ‘job review’ berkaitan gajet, games baharu dan bantu promosi acara-acara berkaitan e-Sukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN