GEORGE TOWN – “Pada akhirnya takdir Allah selalu baik. Walaupun terkadang perlu air mata untuk kita menerimanya”.
Demikian kata-kata yang dimuat naik pempengaruh yang juga usahawan dessert, Kieda menerusi akaun TikTok miliknya hari ini.
Hantaran pemilik nama Siti Nur Khalieda Yusra, 27, dipercayai susulan berita penahanan empat individu bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah dan melarikan barang kemas miliknya bernilai RM800,000, April lalu.
“43 hari…” kapsyen ringkas yang ditulisnya pada video yang memperlihatkan separuh wajahnya dalam keadaan bersedih.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata pengguna media sosial turut memberi kata-kata semangat untuknya untuk terus berjaya dalam perniagaan.
“Orang hebat ujiannya juga hebat. Semoga Allah sentiasa pelihara Kak Kieda dan dijauhkan dari manusia yang negatif,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Saya suka tengok awak berniaga, orang Melayu Islam berjaya, tapi kurangkan menonjol harta, tak payah kongsi dengan orang ramai,” balas pengguna.
Terdahulu, media melaporkan empat sekawan ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman, masing-masing dua wanita dan dua lelaki berusia antara 20 hingga 27 tahun itu ditahan di hadapan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
Tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara sejurus kesemua suspek terbabit selesai menjalani prosiding membabitkan satu kes pecah rumah di ibu negara.
Turut dirampas adalah barang kemas dengan nilai anggaran RM40,000. KOSMO! ONLINE














