KLANG – Malaysia dijangka berdepan krisis kadar kelahiran lebih rendah dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya tiada usaha mengatasinya dibuat oleh pihak berkenaan.
Menurut Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh, tahun ini negara mungkin mengalami penurunan kadar kelahiran terendah dari tahun-
tahun sebelumnya dengan jangkaan melebihi 10 peratus.
“Akan datang, kadar kelahiran akan terus merosot kalau kerajaan tidak buat sesuatu.
“Kita akan jadi seperti negara-negara luar macam Singapura, Jepun dan Korea Selatan. Warga emas akan meningkat, potensi Malaysia negara menua akan lebih cepat setahun atau dua tahun daripada sasaran.
“Sebelum ini, setiap tahun menurun antara tiga hingga lima peratus, selepas ini boleh cecah 10 peratus atau lebih,” katanya.
Tambahnya, pelbagai faktor mempengaruhi penurunan kadar kelahiran itu, antaranya tahap kesuburan rendah, perkahwinan pada usia lewat, fenomena child-free (perkahwinan tanpa anak), kos sara hidup tinggi dan amalan perancangan keluarga.
Sebelum ini, Kosmo! mendedahkan, ibu bapa perlu membelanjakan sehingga RM400,000 secara purata untuk membesarkan seorang anak sejak dilahirkan hingga mencapai usia 18 tahun terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.
Situasi itu menyebabkan ramai pasangan yang berkahwin tidak mahu memiliki anak atau child-free terutama melibatkan golongan muda.
Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah kelahiran di Malaysia sehingga suku tahun pertama 2024 merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus, iaitu 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada suku tahun pertama 2023.
Katanya, secara purata seorang bayi dilahirkan setiap minit, 49 bayi bagi setiap jam dan 1,182 bayi dilahirkan sehari pada suku tahun pertama 2024.
Sementara itu, seorang pegawai perubatan, Dr. Irma Izzati Abdul Malek berkata, kadar kesuburan khususnya wanita semakin rendah berikutan semakin ramai golongan muda menghidap penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi.
















