TANJUNG MALIM – Hero yang menyelamatkan dua mangsa pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk terhempas di kawasan ladang dalam Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai di sini pada 4 Mei lalu tidak mengharapkan sebarang balasan kerana perbuatan yang mulia itu.
Penyelia ladang, Abdullah Abdul Talib, 37, berkata, selepas kejadian itu, memang mangsa berniat untuk berjumpanya sebagai tanda terima kasih namun beliau menolaknya dengan baik.
“Mereka ingin berjumpa tetapi saya kata tidak perlu. Biar sembuh dan sihat dahulu. Kami ada (berbalas) WhatsApp juga, berhubung sampai sekarang.
“Rasa syukur dapat bantu orang dalam kesusahan dan memang kewajipan saya untuk membantu,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Muallim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di sini hari ini.

Dia menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir.
Katanya lagi, beliau terkejut dengan pemberian surat penghargaan itu namun bersyukur dan gembira.
“Syukur dihargai, tidak mengharapkan penghargaan tetapi dah kena panggil rasa gemuruh dan gembira pun ada,” ujarnya.
Media melaporkan sebelum ini, Abdullah adalah individu terlibat menjumpai pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk yang terhempas di kawasan ladang dalam Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai pada 4 Mei lalu.
Dalam nahas sekitar pukul 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, pula cedera di muka.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dari Akademi Penerbangan Layang-Layang itu sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Tanjung Karang, Selangor dan berpatah balik ke Ipoh. – KOSMO! ONLINE














