KEWUJUDAN kereta hibrid dan elektrik telah mengubah landskap automotif negara yang kini menuju ke arah meminimumkan pelepasan sisa karbon serta melestarikan alam sekitar.
Dengan kepelbagaian jenama dan peningkatan pengguna, wujud pula kebimbangan sekiranya semakin ramai yang menggunakan kereta elektrik.
Ini kerana, ia dikhuatiri akan menjejaskan penjanaan dan pengagihan tenaga elektrik di Malaysia.
Hal ini berikutan, kapasiti bateri kereta elektrik adalah besar dan perlu disambung pula dengan sistem pembekalan tenaga untuk dicas.
Melihat kepada permasalahan tersebut, Pensyarah Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Roslinazairimah Zakaria tampil dengan sebuah perisian.
Perisian berkenaan mampu meramal keperluan elektrik yang diperlukan dengan ketepatan tinggi menggunakan pemodelan statistik dihibridkan dengan model pembelajaran mesin.
Menurutnya, peningkatan penggunaan kereta elektrik di negara ini akan menyebabkan pertambahan keperluan tenaga elektrik yang perlu dijana oleh industri pengeluar elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Model peramalan permintaan elektrik yang tepat amat diperlukan untuk mengelakkan permintaan melebihi keupayaan tenaga elektrik dijana.
“Malah, kekurangan tenaga elektrik boleh menyebabkan gangguan bekalan dan memberi kesan kepada industri-industri lain serta berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Keperluan kepada tenaga elektrik daripada pengecas persendirian adalah dinamik.
“Ini kerana, ia bergantung kepada aktiviti pengguna seperti semasa musim perayaan, hari bekerja dan hujung minggu serta lokasi keperluan tenaga elektrik juga akan berubah bergantung kepada pergerakan kenderaan elektrik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah Roslinazairimah, infrastruktur sistem pembekalan tenaga elektrik di lokasi yang strategik perlu ditambah baik bagi memastikan bekalan elektrik mencukupi.
Berkongsi tentang perjalanan penyelidikan, dia memberitahu, ia bermula pada tahun 2021 dan siap sepenuhnya pada awal 2024.
Ujarnya, dia menggunakan data daripada pengecas kereta elektrik persendirian yang diambil daripada penyelidikan ‘My Electric Avenue’ pada 2017 di United Kingdom.
Penyelidikan itu juga telah dijalankan bersama pensyarah PSM UMPSA, Dr. Siti Roslindar Yaziz, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Fadhilah Ahmad Radi serta pelajar pascasiswazah UMPSA, Syahrizal Salleh.
Ujarnya lagi, Malaysia telah menunjukkan komitmen dengan menggubal dasar untuk meningkatkan penggunaan kereta elektrik bagi mengurangkan pelepasan gas karbon.
“Namun begitu, perlu difahami bahawa kereta elektrik juga bergantung kepada tenaga yang disimpan di dalam bateri untuk memacu kenderaan itu.
“Sehubungan itu, perisian ini berupaya mengurangkan jurang di antara penjanaan dengan permintaan tenaga elektrik yang diperlukan.
“Seterusnya, ia dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik dan mengoptimumkan kos operasi,” ujarnya.
Menurutnya, data yang dicerap perlu diubah kepada format siri masa yang boleh dimodelkan.
“Setelah itu, model statistik yang dihibrid dengan model pembelajaran mesin dibina untuk meramalkan penggunaan tenaga elektrik oleh kereta elektrik sedang dicas di pengecas persendirian bagi jangka masa beberapa minit ke hadapan (ultra-short term load forecasting).
“Perisian ini dapat meramalkan jumlah elektrik diperlukan dengan ketepatan tinggi iaitu pada 98.8 peratus,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, bagi meluaskan lagi fungsi perisian, data pengecasan persendirian elektrik daripada pengeluar kereta elektrik diperlukan untuk meramal keperluan tenaga dengan tepat mengikut lokasi pada satu-satu masa.














