TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan kehidupan gadis Pesona Ahad minggu ini, Nur Qistina Adriana Badrul Hisham, 21, yang mula meraih pendapatan sendiri sejak berusia 15 tahun.
Siapa sangka, bakat dan kemahiran Qistina Adriana atau mesra disapa Qiss yang diwarisi oleh ibu dalam menghasilkan bunga sabun telah membuka pintu rezeki buat mereka sekeluarga, sekali gus melonjakkan peribadinya kepada dunia peragaan.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis kecil molek kelahiran Kuala Terengganu ini berkongsi tentang minatnya di dalam dunia perniagaan dan peragaan sejak remaja.
KOSMO! AHAD: Ceritakan tentang diri anda?
QISTINA: Saya merupakan anak pertama daripada dua orang adik-beradik, berasal dari Kuala Terengganu, suka berniaga dan memasak. Selain aktif menjadi model peragaan, saya juga memiliki bisnes popia nestum dan bunga sabun.
Perwatakan diri yang orang tidak tahu?
Saya sebenarnya seorang yang pendiam, namun kerana tuntutan kerja dan minat, membuatkan diri ini lebih banyak berkomunikasi dan menonjolkan diri.
Bagaimana mula terlibat dalam dunia perniagaan?
Seawal usia 15 tahun, ketika orang lain sibuk mengulang kaji untuk Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga, saya pula sibuk menyiapkan tempahan bunga sabun. Dari situlah nama saya mula melonjak di media sosial sehingga ditawarkan untuk menjadi model peragaan beberapa produk.
Bagaimana majukan bisnes dalam ekonomi yang mencabar?
Kita kena cuba pelbagai bidang, kalau dulu saya hanya fokus kepada satu benda sahaja iaitu bunga sabun, namun sekarang saya juga ada usahakan bisnes makanan ringan seperti popia nestum.
Siapa inspirasi dalam dunia perniagaan?
Inspirasi saya ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang merupakan salah seorang jutawan Melayu Islamik yang berjaya.
Apa cabaran dunia peragaan?
Semua orang mempunyai keistimewaan sendiri, jadi bila bercakap tentang dunia peragaan, sudah pasti saingannya ramai.
Kenapa wanita masa kini perlu ceburi pelbagai bidang?
Dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar, wanita perlu menjadi berketerampilan dan serba boleh dalam semua bidang serta tidak boleh berharap kepada satu sumber sahaja.
Nasihat untuk wanita lain?
Tak kira berapa umur anda, sayangilah diri sendiri, lakukan apa sahaja yang diminati, jangan hirau kata-kata negatif yang melemahkan diri sendiri dan sentiasa berfikiran positif.
Ciri- ciri lelaki idaman?
Lelaki itu mestilah seorang yang beragama, bertanggungjawab, bertatasusila dan beradab serta penyayang dan bersedia untuk sayangi keluarga saya.
















