fbpx

Fadillah terjah Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah merakam gambar suasana di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar awal pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan tinjauan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini awal pagi ini.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor melakukan tinjauan mengejut tersebut kira-kira pukul 4.15 pagi.

“Saya mengadakan tinjauan mengejut ini bagi melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

“Sejurus tiba di BSI, saya meninjau ruang legar yang menempatkan kedai-kedai dan stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sebelum menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke pintu keluar ke Singapura.

“Saya kemudian ke bahagian pasport autogate, imigresen, sistem pengimbas kastam, bahagian motosikal yang menggunakan sistem mbike, bas,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Fadillah berkata, beliau turut berjumpa dengan pengguna perkhidmatan awam di BSI dan para petugas serta melihat sendiri bahagian laluan bas serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbit.

Menurut beliau, hasil tinjauan itu akan dijadikan panduan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor.

“Terima kasih kepada semua pihak berkuasa berkaitan yang membantu melancarkan tinjauan mengejut saya pagi ini.

“Terima kasih juga pegawai imigresen dan polis yang turut membantu dan menerangkan proses perjalanan kemasukan pelancong selepas dapat menghidu kehadiran saya di CIQ berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI