fbpx

Saya dengar suara Nabil nazak – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU Nabil, Fatimah sempat bercakap dan mendengar anaknya itu ketika dalam keadaan nazak.

PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Nabil Mentor, Fatimah Abdullah memaklumkan anaknya mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat sejak subuh sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

Fatimah berkata, menantunya Adelia Citra Hapsari terus menghubunginya selepas melihat kesihatan Nabil dalam keadaan tidak baik.

“Sewaktu Nabil mahu solat subuh, isteri maklumkan keadaannya sudah mula nampak tidak baik dan mengalami kekejangan. Jadi, dia terus hubungi saya.

“Ketika sedang bercakap, saya ada dengar suara Nabil seolah-olah sudah nazak. Kemudiannya, kami terus hubungi ambulans dan arwah dibawa ke hospital dalam masa 30 minit kemudian.

“Kalau diikutkan arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang, pukul 9.15 pagi tadi, namun keadaannya sudah mula merosot sejak di rumah,” katanya.

Ditanya keadaan kesihatan Allahyarham Nabil, anaknya tiada sebarang penyakit selain mengadu sakit perut beberapa bulan lalu.

“Kalau diikutkan, arwah memang sihat dan tiada masalah kesihatan yang kritikal. Arwah juga selalu aktif terutama ketika bekerja. Kadang-kadang sampai lewat malam, jadi dia pun selalu tidur lambat.

“Sebelum ini, arwah ada mengadu sakit sikit-sikit termasuk di bahagian perut sejak dua atau tiga bulan lalu.

“Namun, perkara tersebut datang pada masa tertentu sahaja. Jadi, sekarang kami tengah tunggu ‘post-mortem’ daripada unit forensik,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Fatimah tidak melihat sebarang perubahan terhadap anaknya walaupun rakan-rakan Nabil sedar arwah menjadi lebih pendiam.

“Kawan-kawan cakap, arwah banyak berdiam tetapi saya tidak nampak apa-apa sebab arwah masih berborak dengan saya.

“Namun, saya pernah terdetik bagaimana kalau Nabil sudah tiada nanti.

“Saya berfikir apa akan jadi dan siapa akan jaga anak-anak yang masih kecil. Saya tak tahu kenapa boleh terfikir sebegitu, macam tiba-tiba sahaja ia datang,” jelasnya.

Pagi tadi, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Nabil yang juga merupakan Naib Juara dalam program realiti Mentor musim pertama.

Allahyarham Nabil yang juga anak kedua daripada empat beradik, bekerja di Unit Pembangunan Kandungan Bahasa Melayu Astro sejak lima tahun lalu.

Dalam karier nyanyiannya Nabil pernah menghasilkan satu album, Dari Jauh pada 2006 dan antara single nyanyiannya seperti Hati Ini, Hey Emma, Dari Jauh, Beku, Selangkah (OST Aladdin) dan Kenangan Lama (OST drama Ijab Kabut).

Bagi karier lakonan pula, dia pernah membintangi drama Seribu Erti pada 2007, Kerana Kirana 2 (2008), Kamelia Katrina (2009) dan Ijab Kabut (2022), selain filem Aladdin dan Boboiboy Movie 2 sebagai Kapten Kaizo (2019).

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI