fbpx

Malaysia Masters: Arif, Roy King pasang hajat juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF (kiri) dan Roy King meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir Malaysia Masters selepas menyingkirkan Kjaer-Sogaard di suku akhir sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Alang-alang sudah melayakkan diri ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters, beregu lelaki negara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King mula memasang impian untuk merangkul gelaran.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, mereka melakar kejutan apabila menyingkirkan beregu No.2 Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard menerusi kemenangan 21-18, 14-21, 21-18.

Arif menjelaskan, sasaran awal mereka pada kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu hanyalah melangkah ke suku akhir, namun kemenangan itu membakar semangat mereka untuk melangkah ke pentas final dan memenangi kejuaraan.

“Alhamdulillah dapat catat kemenangan hari ini dan memang sangat gembira kerana bermain di laman sendiri. Bagaimanapun, saya harap dapat menampilkan aksi lebih baik nanti kerana hari ini saya bermain teruk.

“Sasaran awal untuk ke suku akhir, namun alang-alang sudah ke separuh akhir, kenapa tidak ke final dan menjadi juara. Rasa lega kerana dapat sekat rentak lawan ketika mereka mengejar di penghujung perlawanan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua Arif-Roy King melakar kejutan pada Malaysia Masters selepas turut menewaskan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan kedua semalam.

Menjelang aksi separuh akhir esok, beregu No.47 dunia itu akan menantikan pemenang antara rakan sepasukan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang turun menentang satu lagi pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Turut meneruskan kemaraan ke separuh akhir esok adalah beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang mudah menewaskan pasangan Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu 21-16, 21-8 dalam tempoh 31 minit.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang merupakan naib juara musim lalu apabila tewas 18-21, 16-21 kepada He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI