fbpx

Malaysia buru gelaran hatrik Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain negara meraikan kejayaan mereka sejurus menewaskan Thailand dalam acara double dan regu di Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa semalam. - AMIR KHALID

SKUAD sepak takraw negara kini mengalih tumpuan memburu kejuaraan hatrik pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas mencipta sejarah ‘melibas’ dua pasukan Thailand untuk menjuarai acara double dan regu di Stadium Titiwangsa malam kelmarin.

Kemenangan tersebut pastinya memberi tonik tambahan buat regu-regu negara meneruskan perjuangan mereka memburu satu lagi gelaran di pentas Piala Dunia, kali ini menerusi acara berpasukan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, kemenangan berganda Malaysia melonjakkan semangat skuad negara, namun berharap para pemain tidak boleh leka dan perlu memberikan 200 peratus bagi acara berpasukan.

“Kita bersyukur dengan dua kejayaan awal ini, tetapi kita tidak boleh terlalu yakin. Saya berharap para pemain dapat meneruskan momentum dan kalau sekali lagi kita ke final, pemain akan berjuang habis-habisan.

“Berpasukan adalah acara yang ditunggu-tunggu. PSM sebagai penganjur Piala Dunia kali ini juga menyedia piala khas untuk acara ini. Jika berjaya, pastilah lebih manis, namun, saya anggap peluang masih terbuka.

“Kalau berdepan Thailand di final berpasukan, peluang masih 50-50 dan saya harap para pemain jangan terlalu ghairah dengan dua kejayaan awal sebab kita ada satu lagi misi yang lebih besar,” katanya.

Kapten Malaysia, Farhan Adam berkata, dia dan rakan sepasukan belum boleh meraikan kejayaan biarpun mengungguli acara double dan regu, sebaliknya perlu kekal fokus bagi menghadapi saingan berpasukan.

“Kami perlu tangguhkan dahulu untuk meraikan kejayaan dua gelaran di Piala Dunia ini kerana perjuangan masih belum selesai.

“Bagaimanapun, kemenangan ini sudah pasti meningkatkan keyakinan dan motivasi kami untuk menghadapi acara berpasukan. Kami akan buat yang terbaik memastikan gelaran menjadi milik Malaysia,” katanya.

Bagi acara berpasukan, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Brunei dan Jepun, sekali gus dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat kalah mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI