fbpx

Bekas Setpol Hamzah Zainudin didakwa lagi kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sayed Amir ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen, hari ini atas satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM350,000 bagi tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan polis, empat tahun lalu.

Tertuduh, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Sayed Amir didakwa meminta suapan wang tunai RM350,000 daripada seorang pengarah urusan sebagai upah untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNET untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM381,112,042.44.

Perbuatan itu dilakukan di pejabat syarikat berkenaan di kawasan Perindustrian Seksyen 7, di sini, pada pukul 4 petang awal Disember 2020.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong memohon mahkamah menggunapakai jaminan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selain memindahkan kes tersebut untuk disekalikan prosidingnya di mahkamah berkenaan.

Permohonan itu tidak dibantah Peguam Md. Yunos Shariff yang mewakili tertuduh dan mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dengan sebutan semula ditetapkan pada 12 Julai depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kosmo! semalam melaporkan Sayed Amir mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 dan diberikan jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI