fbpx

Ops Samba 2.0 kesan ketirisan cukai negara berjumlah RM2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian individu yang ditahan SPRM menerusi pelaksanaan Ops Samba 2.0 kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan arak serta rokok seludup.

PUTRAJAYA – Ops Samba 2.0 yang dilaksanakan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 11 hingga 25 Mac lalu berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion.

Operasi yang mendapat kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia itu memfokuskan siasatan terhadap pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

SPRM dalam kenyataannya berkata, ketirisan itu merupakan satu kerugian yang amat besar dan memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung.

“Dalam operasi itu, SPRM menahan seramai 34 anggota dan pegawai JKDM Gred 19 hingga 44 serta 27 individu dan pemilik syarikat.

“Siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup,” katanya hari ini.

SPRM berkata, berikutan penahanan itu, pihaknya merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan buah kenderaan mewah milik sindiket bagi membantu siasatan.

“SPRM turut membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berjumlah RM18 juta.

“Setakat ini, dua pegawai kastam telah dituduh dan seramai 23 pegawai lagi akan didakwa di enam mahkamah sesyen di seluruh negara sehingga 6 Jun 2024,” katanya.

Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI