fbpx

Lagi bekas pemain Arsenal julang trofi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOLASINAC berjaya memenangi trofi pertamanya bersama Atalanta sejak berhijrah daripada Marseille tahun lalu. - AFP

DUBLIN – Ketika Arsenal gagal menjulang sebarang trofi biarpun menunjukkan pencapaian hebat musim ini, namun nasib berbeza dialami bekas tonggak pertahanan pasukan itu, Sead Kolasinac apabila menjuarai Liga Europa bersama Atalanta.

Kolasinac, 30, dianggap antara watak penting kelab dari Itali itu apabila membarisi kesebelasan utama ketika menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 pada aksi final Liga Europa yang berlangsung di Stadium Aviva, Dublin, Ireland awal pagi tadi.

Bek tengah yang boleh beraksi sebagai pertahanan kiri itu bermain selama 45 minit sebelum dia digantikan oleh Giorgio Scalvini yang dilihat lebih kepada pertukaran taktikal untuk memastikan Atalanta berjaya menyerap segala tekanan daripada Leverkusen.

“Saya mengalami sedikit masalah di bahagian otot sehingga menyebabkan saya tidak boleh berjalan. Saya mahu meneruskan permainan, tetapi malangnya saya gagal melakukannya.

“Saya gembira kerana kami berjaya memenangi perlawanan ini dengan tiga gol daripada (Ademola) Lookman. Ini satu malam yang sangat menakjubkan buat kelab,” kata Kolasinac.

KOLASINAC gagal menjuarai Liga Europa bersama Arsenal selepas tewas kepada Chelsea di final edisi 2019. – AFP

Ia merupakan keputusan tepat daripada pengendali Atalnta, Gian Piero Gasperini untuk menjulang trofi pertama di pentas Eropah dalam tempoh 61 tahun, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Leverkusen selama 51 perlawanan berturut-turut.

Kejayaan itu secara tidak langsung menyaksikan para peminat bola sepak menyindir Arsenal apabila sekali lagi menyaksikan bekas pemainnya menjulang piala seperti dilakukan Granit Xhaka yang menjuarai Bundesliga bersama Leverkusen musim ini.

Malah, Kolasinac juga berjaya memenangi trofi Liga Europa itu lebih awal daripada Arsenal selepas dia pernah merasai kegagalan bersama kelab dari Utara London tersebut ketika tewas kepada Chelsea pada final edisi 2019.

Sebagai rekod, Kolasinac yang menyertai Arsenal secara percuma daripada Schalke 04 pada 2017, berjaya memenangi dua Piala Perisai Komuniti serta satu Piala FA sebelum berhijrah ke Marseille dua tahun lalu dan kini bersama Atalanta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI