fbpx

Rakyat Iran kehilangan Presiden Ebrahim Raisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EBRAHIM Raisi menjelang ucapan sempena Tahun Baru Parsi di Tehran pada 20 Mac lalu. – AFP

TEHRAN – Media rasmi Tehran mengumumkan bahawa ­Presiden Ebrahim Raisi me­ninggal dunia semalam selepas helikopter yang beliau naiki terhempas di sebuah kawasan pergunungan di Iran.

Kerajaan Iran setakat petang kelmarin masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kematian pemimpin itu.

Pasukan penyelamat meredah lokasi berkenaan sejak tengah hari kelmarin selepas helikopter dinaiki Raisi; Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian dan beberapa pegawai lain terputus hubungan dengan menara kawalan.

Awal semalam, pasukan kecemasan berjaya mengesan helikopter yang hilang itu dengan stesen televisyen kerajaan mengumumkan pemergian Raisi.

“Ayatollah Ebrahim Raisi mencapai makam syuhada ter­tinggi ketika berkhidmat kepada rakyat,” kata televisyen kerajaan, manakala agensi berita Mehr turut melaporkan beliau telah meninggal dunia.

Stesen televisyen kerajaan menyiarkan gambar Raisi bersama bacaan kitab suci al-Quran yang berkumandang.

Kebimbangan terhadap nasib pemimpin berusia 63 tahun itu meningkat selepas helikopter yang dinaikinya bersama Amir-Abdollahian dan beberapa pegawai lain, hilang di wilayah Azerbaijan Timur kelmarin.

Menurut agensi berita Tasnim, seramai sembilan orang menaiki helikopter tersebut.

Terdahulu, ketua persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koolivand berkata, pasukan penyelamat telah menuju ke lokasi nahas selepas helikopter tersebut dijumpai.

“Helikopter itu telah ditemui. Kami sedang menuju ke arah bangkai helikopter tersebut. Situ­asi adalah ‘tidak baik’,” katanya.

Stesen televisyen kerajaan melaporkan, selepas menemui bangkai helikopter yang membawa Raisi, tiada tanda-tanda menunjukkan penumpangnya masih hidup, 15 jam selepas pesawat itu hilang.

Media Iran termasuk agensi berita Fars berkongsi gambar bangkai helikopter itu.

Stesen televisyen kerajaan pertama kali melaporkan tengah hari kelmarin bahawa helikopter membawa Presiden Iran itu terlibat dalam kemalangan di rantau Jolfa, wilayah Azerbaijan Timur.

“Helikopter itu mendarat ‘keras’ dalam cuaca buruk,” kata Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi.

Beliau meminta orang ramai mendapatkan maklumat mereka daripada ‘stesen televisyen kerajaan’ dan tidak mendengar saluran media asing yang bermusuhan dengan Iran.

Konvoi Raisi termasuk tiga helikopter dengan dua yang lain tiba di destinasinya dengan selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei menggesa rakyat Iran supaya tidak bimbang tentang kepimpinan negara.

“Pentadbiran negara ini tidak akan terjejas,” katanya.

Raisi menjadi Presiden Iran sejak tahun 2021 selepas beliau menggantikan pemimpin berfahaman sederhana, Hassan Rouhani ketika ekonomi Tehran terjejas teruk akibat sekatan Amerika Syarikat.

Semasa pentadbiran Raisi, Iran turut menyaksikan gelombang tunjuk perasaan yang tercetus selepas kematian wanita etnik Kurdis-Iran, Mahsa Amini semasa dalam tahanan polis pada September 2022.

Mahsa ditangkap kerana melanggar peraturan berpakaian untuk wanita.

Pada Mac 2023, Iran dan seterunya, Arab Saudi menandatangani perjanjian untuk menghidupkan semula hubungan diplomatik Riyadh-Tehran.

Perang Gaza pula menyebabkan ketegangan serantau me­lonjak, manalaka peningkatan konfrontasi mendorong Tehran melancarkan beratus-ratus roket dan peluru berpandu ke arah Israel pada April tahun ini.

Dalam ucapan beliau selepas merasmikan Empangan Qiz-Qalasim kelmarin, Raisi menekankan tentang sokongan Iran kepada rakyat Palestin. Sokongan kepada rakyat Palestin menjadi asas dasar luar Tehran sejak Revolusi Islam pada tahun 1979.

“Kami percaya bahawa Pales­tin adalah isu pertama dunia Islam dan kami yakin rakyat Iran dan Azerbaijan sentiasa menyokong penduduk Palestin serta Gaza dan membenci Rejim Zionis,” kata Raisi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI