fbpx

Kalau gagal, habis karier saya – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosyam melakonkan watak warga pendidik bernama Cikgu Sunan dalam Memoir Seorang Guru.

KUALA LUMPUR – Pelakon berkaliber Datuk Rosyam Nor menyifatkan watak Cikgu Sunan yang dijayakan dalam filem Memoir Seorang Guru antara cabaran terbesar pernah dilakukan sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.

Bukan itu sahaja, persepsi ramai terhadap watak yang diangkat daripada novel popular dalam bidang pendidikan negara tersebut menambahkan lagi keresahannya sepanjang menhidupkan watak seorang guru.

“Sejujurnya, menghidupkan watak Sunan ini sangat sukar kerana diambil daripada novel yang cukup terkenal yang juga dijadikan bahan pembelajaran di sekolah.

“Semua guru di Malaysia tahu tentang novel itu, jadi kalau saya gagal jayakan watak ini dengan baik, karier saya sebagai pelakon memang habis.

“Nanti orang cakap Rosyam Nor setakat berlakon filem aksi bolehlah. Kalau itu terjadi, sudah gagal buat saya,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis tayangan gala filem berkenaan malam tadi.

Mengulas lanjut, Rosyam juga mengakui menjayakan sebuah filem sebegitu memberi risiko tinggi terhadap kerjaya lakonannya.

“Sebenarnya filem ini menakutkan sebab risau boleh hilangkan nama saya tetapi mampu juga julang semua nama saya.

“Apa pun, alhamdulillah pada usia ini saya bangga kerana diberi kepercayaan untuk memegang watak seorang guru dalam filem ini.

“Saya rasa ramai pelakon di Malaysia yang akan cemburu kerana tidak dapat memegang watak Cikgu Sunan ini,” katanya lagi.

Memoir Seorang Guru merupakan adaptasi daripada novel hasil karya penulis popular, Allahyarham Azizi Abdullah yang juga bekas seorang guru dan penerima Anugerah Penulis S.E.A 1998 mewakili Malaysia.

Filem arahan Kyoll Hamzah mengetengahkan perjalanan hidup seorang guru dari bandar iaitu Cikgu Sunan yang ditukarkan ke sebuah sekolah pedalaman dan ditugaskan menjadi guru di kelas paling corot.

Selain Rosyam, Memoir Seorang Guru yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 Mei depan turut dibarisi pelakon hebat lain termasuk Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI