fbpx
AHMAD AZZA FAHMI (kiri) dan Muhamad Syafiq Ahmad yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat lalu.

‘Ami, Syafiq semoga diberi ganjaran pahala fisabilillah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AL-FATIHAH buat dua wira negara Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24. Penulis turut mendoakan Koperal Mohd. Hasif Roslan agar segera sembuh.

Kehilangan dua anggota Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada awal pagi Jumaat lalu amat menggemparkan negara. Mereka gugur ketika bertugas. Sesungguhnya ramai yang ‘cemburu’ dengan kalian berdua. Seluruh negara mendoakan roh mereka. Semoga diganjarkan pahala fisabilillah.

Sepanjang pengamatan penulis sebagai warga media, serangan berdarah kira-kira pukul 2.30 pagi ini adalah tragedi besar menimpa negara. Melihat kepada fakta kes, penyerang berusia 21 tahun ini terpengaruh dengan kefahaman songsang militan Daesh.

Usia penyerang dan dua anggota polis berkenaan masing-masing awal 20-an. Boleh disimpulkan dua wira negara kita dalam fasa membina kehidupan. Pada usia begini bakti yang mahu diberikan mereka buat negara, masyarakat dan kepada keluarga khususnya masih banyak.

Kosmo! Ahad melalui laporan muka depan kelmarin melaporkan, penyerang tersebut telah ‘termakan’ dengan ideologi yang diterapkan oleh kumpulan pengganas Daesh yang mana perbuatan membunuh tersebut adalah halal.

Mereka berfahaman darah anggota Polis Diraja Malaysia juga ‘halal’ dibunuh kerana giat membanteras kegiatan mereka daripada berkembang di negara ini.

Beberapa tahun lalu, penulis masih teringat apabila Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman dalam tindakan operatifnya menahan individu-individu berimej ‘agama’. Akibatnya E8 dicemuh dengan pelbagai persepsi negatif.

Namun, usaha-usaha keras berkenaanlah yang menjamin kita rakyat untuk tidur di malam hari. Serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram ini pastinya memberi tekanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ekstremis ini pun licik, mereka turut pandai memanfaatkan perkembangan teknologi terkini. Kalangan remaja pun boleh terpengaruh melalui media sosial. Kita fikirkan anak-anak sedang belajar di dalam bilik, namun tidak siapa tahu apa yang dilayari di internet.

Cabaran ini perlu dipikul segenap lapisan masyarakat. Pengguna media sosial itu sendiri perlu bijak menilai baik buruk kandungan yang dibaca di internet. Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab ini pada suatu pihak sahaja.

Terdapat kes-kes sebelum ini anak muda direkrut melalui media sosial. Apabila pemikiran mereka dipengaruhi dakyah dan ideologi ekstremisme sehingga mampu melakukan tindakan-tindakan di luar dugaan.

Perkembangan dalam negara kebelakangan ini amat merunsingkan. Belum reda isu tangkapan lelaki Israel kita dikejutkan pula dengan tragedi serangan balai polis ini. Walaupun tiada kaitan antara kedua-dua kes, namun musuh dari luar dan dalam negara sedang menunggu peluang.

Kita perlu bangkit! Tragedi Balai Polis Ulu Tiram ini adalah wake up call. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN